Hampir 5 tahun berumahkan campervan, keluarga ini amal prinsip belajar sambil melancong


  • Benua
  • Ahad, 10 Apr 2022

Ambu (kiri) bersama-sama suami dan isterinya. — Instagram keluarga.kusmajadi

PENDIDIKAN bukan sahaja dipelajari di sekolah malahan juga melalui pengalaman peribadi.

Prinsip berkenaan diamalkan oleh pasangan suami isteri, Abah Dodi dan Ambu Melati kepada anak-anak mereka.

Abah dan Ambu membawa anak-anak mereka untuk belajar di dalam sebuah campervan sambil menjelajah di seluruh Indonesia.

Idea tersebut tercetus selepas Ambu kagum melihat gaya hidup masyarakat di Kampung Wae Rebo, Nusa Tenggara Timur.

Menurut wanita itu, banyak yang boleh dipelajari secara langsung apabila melihat sendiri sesuatu perkara tersebut di depan mata.

Bermula dari budaya setempat, proses pembentukan alam semula jadi sehinggalah kepada sains sosial.

Konsep pembelajaran seperti itu membuatkan Ambu membuat keputusan membawa suami serta dua anak mereka merantau ke seluruh Indonesia.

Screenshot 2022-04-09 200707

Hakim menggunakan ruang yang disediakan untuk belajar. — Instagram keluarga. kusmajadi

Pada mulanya, dua anaknya, Hakim dan Sabiya menolak idea tersebut.

"Hakim dan Sabiya tidak menyukai idea berkenaan kerana mereka menyangka ia sesuatu yang aneh dan pelik.

"Mereka juga fikir bagaimana hendak ke sekolah.

"Tapi Hakim sudah 'home schooling' terlebih dahulu dan Sabiya kemudiannya terpaksa mengikuti 'home schooling' ketika kami merantau.

"Mahu atau tidak, mereka tiada pilihan lain. Anak-anak harus ikut, tidak mungkin kami akan tinggalkan mereka dan perjalanan ini, memang dilakukan bertujuan untuk mereka belajar," kata Ambu.

Screenshot 2022-04-09 200035

Ruang dalaman Moti. — Instagram keluarga.kusmajadi

Dalam pada itu, Abah yang pernah bekerja di Malaysia, membawa pulang keluarganya ke Indonesia semata-mata untuk melancong.

Salah satu persediaan mereka lakukan sebelum melancong adalah membeli campervan.

Kenderaan berkenaan yang dikenali sebagai Moti direka bentuk untuk perjalanan jarak jauh.

Malahan, kenderaan berkenaan juga tidak mengganggu aktiviti harian mereka dan Hakim serta Sabiya dapat belajar dengan selesa seperti di rumah.

Keluarga tersebut meninggalkan rumah mereka di Jakarta pada 3 September 2018 dan masih tiada tanda-tanda mereka akan berhenti melancong ketika ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram