Baru pulang berubat, lelaki berperangai pelik kelar leher isteri dan anak


  • Benua
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Polis mengusung mayat salah seorang mangsa yang dibunuh di Serang Banten pada Khamis lalu. — Agensi

SEORANG lelaki bertindak membunuh isteri dan seorang anaknya pada Khamis lalu di Serang Banten, Indonesia pada pukul 2 pagi waktu tempatan.

Seorang lagi anak suspek sempat melarikan diri dan meminta pertolongan daripada jiran.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Polis Serang, Dedi Jumhaedi, susulan tindakan anak suspek berkenaan, pihaknya menahan lelaki terbabit dikenali sebagai Supriyadi.

"Dia ketika ini sedang dirawat di hospital kerana mempunyai kesan kelar di bahagian lengan kirinya.

"Suspek dikatanya cuba membunuh diri menggunakan pisau selepas membunuh isteri dan anaknya. Motif kejadian bagaimanapun masih tidak diketahui," katanya.

Lokasi kejadian Supriyadi membunuh isteri dan anaknya. — Agensi

Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, dia tidak menyangka perkara buruk seperti itu akan berlaku terhadap keluarga berkenaan.

Ujarnya, keluarga itu tidak pernah mengalami sebarang masalah atau pertelingkahan antara suspek dan isterinya.

Selain itu, penduduk itu berkata, keluarga berkenaan baru sahaja pulang dari Lampung, Sumatra selepas berubat.

"Ya, isternya baru saja membawa suaminya (suspek) berubat di Lampung selama dua minggu.

"Katanya kerana sakit namun saya tidak tahu sakit apa," menurutnya lagi.

Tambah penduduk tersebut, suspek sempat ke rumahnya untuk meminta maaf pada hari sebelum kejadian.

"Dia meminta maaf kerana takut usianya tidak panjang," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kelar, bunuh, bunuh diri, polis, motif, berubat, Lampung