KEUNIKAN masjid ini pasti memukau sesiapa sahaja yang melihatnya buat kali pertama.
Masjid Amirul Haq di Daerah Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia mempunyai rekaan yang tersendiri.
Kubahnya berbentuk songkok recca yang merupakan penutup kepala bagi kaum Bugis serta melambangkan jati diri cendekiawan serta bangsawan kerajaan Bone.
Songkok berkenaan merupakan warisan budaya bagi penduduk setempat.
Dahulu, songkok sedemikian hanya dipakai oleh golongan atasan namun kini rakyat biasa turut menggayakannya sebagai produk kebudayaan.
Selain bentuk kubahnya yang unik, tembok Masjid Amirul Haq turut menerapkan ciri-ciri negara di Asia Barat serta diukir ayat Asmaul Husna.
Masjid setinggi tiga tingkat itu menempatkan ruang khas untuk kaum Muslimin di aras paling atas.
Masjid itu mempunyai tiga tingkat. — Agensi
Masjid berkenaan dibina pada 2017 dan baru dirasmikan pada 1 April lalu di mana ia menelan belanja sehingga 8 bilion rupiah (RM2.3 juta).
Majoriti sumbangan pembinaannya datang dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Pengerusi Pembinaan Masjid Amirul Haq, Andi Fahsar Mahdin, proses pembinaannya memakan masa yang lama kerana terpaksa dilakukan secara berperingkat mengikut dana yang dikumpul.
"Masjid ini dibina tanpa sumbangan kerajaan dan banyak disalurkan oleh rakan-rakan serta duit saya sendiri.
"Syukur, kami boleh menggunakan masjid ini untuk solat dan mengerjakan ibadah Tarawih," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram