Jagalah kesihatan, usah tewas kepada nafsu yang membazir dan memudaratkan


  • Sihat
  • Ahad, 10 Apr 2022

ADA individu yang membeli makanan pada kuantiti banyak sebelum berbuka puasa, namun ia tidak dapat dapat dihabiskan akibat terlalu kenyang dan mengakibatkan pembaziran.

SETIAP Muslim diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan bagi melaksanakan rukun Islam ketiga. Ibadat tersebut bukan sahaja merupakan tuntutan agama, malah ia mampu menjaga kesihatan tubuh badan menerusi pengurangan makanan yang tidak berkhasiat.

Seperti biasa, orang ramai berpusu-pusu untuk pergi ke bazar Ramadan disebabkan banyak juadah berbuka dijual di sana.

Penulis berpendapat, seseorang individu adakalanya mempunyai nafsu tamak ketika lapar apabila mahukan semua juadah makanan yang dijual atau terhidang di depan mata.

Pembaziran

Tanpa berfikir panjang, mereka akhirnya membeli makanan dengan kuantiti yang banyak dan apabila berbuka, kebanyakan makanan yang dibeli tidak dapat dihabiskan kerana sudah terlalu kenyang.

Lebihan makanan tadi adakalanya hanya bertahan sehingga waktu sahur dan sekiranya ia tidak sempat dihabiskan, maka berlaku satu pembaziran wang dan makanan kerana pastinya si pembeli akan membuangnya begitu saja.

Perkara ini semestinya satu kebimbangan kerana sesetengah individu tidak mampu mengawal nafsu ketika membeli makanan yang akhirnya menyumbang kepada pembaziran.

Jadi alangkah baiknya jika lebihan makanan yang dibeli sebelum waktu berbuka itu disumbangkan kepada mereka yang lebih memerlukan atau diberi kepada jiran terdekat.

Ini seterusnya dapat mengeratkan silaturahim atau meningkatkan pahala berpuasa apabila menderma.

Selain soal pembaziran, nafsu juga boleh memudaratkan kesihatan seseorang di bulan Ramadan ini, sedangkan bulan suci ini sepatutnya menyihatkan tubuh kita.

Masakan tidak, nafsu membuka ketika membeli juadah atau memasak secara berlebihan boleh mengundang kepada penggunaan serta pengambilan gula atau garam yang tidak terkawal.

Penyakit

Ini sekali gus akan menjerumuskan kita untuk mendapat penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi atau kencing manis (diabetes).

Apatah lagi ketika berdepan zaman pandemik Covid-19 ini, seharusnya orang ramai peka dan ambil cakna untuk menjaga kesihatan diri.

Semua sedia maklum bahawa golongan berpenyakit seperti darah tinggi dan diabetes paling berisiko untuk dijangkit virus maut itu.

Tapi malangnya ada yang mengambil kesempatan dan mula alpa sejak kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) termasuki kebenaran merentas negeri, pembukaan sempadan, rapat saf jemaah di masjid serta tiada lagi had masa bagi operasi pembukaan premis.

Kelonggaran sekatan ini menjadikan pergerakan orang ramai tiada hadnya, selain menyebabkan risiko penularan wabak itu lebih tinggi walaupun kebanyakannya telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 dan dos penggalak.

Namun, perkara itu hanya terjadi sekiranya orang ramai sukar untuk menjaga diri sendiri dan tidak mematuhi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Bahana diabetes

Tambahan pula, individu yang menghidap penyakit kronik perlu lebih diberi perhatian supaya tidak dijangkiti Covid-19. Sebagai contoh, pesakit diabetis mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang teruk jika mereka dijangkiti wabak tersebut.

Menurut Universiti Sains Malaysia (USM), insiden atau risiko pesakit diabetis untuk memerlukan rawatan intensif adalah sebanyak dua kali ganda berbanding pesakit Covid-19 yang tiada diabetis.

Kadar kematian juga meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding kadar kematian pesakit Covid-19 yang biasa. Selain diabetis, mereka yang mempunyai darah tinggi, sakit jantung atau masalah paru-paru juga mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang teruk akibat jangkitan ini.

USM juga menyatakan bahawa risiko untuk mendapat komplikasi yang teruk akibat jangkitan Covid-19 boleh dikurangkan jika pesakit menjaga kawalan gula dalam badan mereka.

Ini juga akan mengurangkan risiko mereka untuk mendapat komplikasi akibat diabetis itu sendiri.

Justeru, pesakit disarankan untuk mengurangkan pengambilan makanan bergoreng dan berlemak serta mengurangkan pengambilan makanan yang terlalu tinggi kandungan garam dan gula semasa berbuka puasa.

Namun, orang ramai sama ada penghidap penyakit kronik atau tidak disarankan untuk mengamalkan makanan berkhasiat pada bulan puasa.

Amalan itu sekiranya dimulakan pada bulan Ramadan mungkin akan diteruskan pada bulan Syawal dan seterusnya, sekali gus mengelakkan atau mengurangkan penyakit yang dihidapi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram