Bukan menikmati keindahan Kota Semarang, tapi bot bawa pelancong tinjau 'pulau sampah'


  • Benua
  • Jumaat, 08 Apr 2022

TAMBAKREJO pernah dilabel 'pulau sampah' sebelum ini. — Agensi

SEKIRANYA anda seorang 'kaki melancong' dan gemarkan percutian yang berbeza, apa kata anda mencuba lawatan bot di kampungan Nelayan Tambakrejo, Kota Semarang, Jawa Tengah, Indonesia.

Namun, anda tidak akan dibawa menikmati keindahan lautan yang jernih dan cantik, sebaliknya akan menyaksikan ribuan sisa plastik di sepanjang Sungai Banjir Kanal Timur (BKT).

Bukan tersalah lokasi tetapi pemandu bot di Tambakrejo mengadakan lawatan sedemikian bertujuan untuk mendidik orang ramai supaya lebih prihatin terhadap persekitaran mereka.

Menurut salah seorang pengunjung dikenali sebagai Indirah, lawatan seumpama itu menarik minatnya kerana jumlah sampah yang terlalu banyak di kawasan berkenaan sehingga pernah menjadi tular sebelum ini.

Tambah Indirah, Sungai BKT berpotensi dijadikan tempat pelancongan yang baik sekiranya bersih dan bebas daripada sampah sarap.

"Ombaknya juga tidak besar," katanya yang turut bersama-sama rakan-rakannya dalam lawatan itu.

Screenshot 2022-04-07 150311

Lawatan bot di sepanjang BKT, Tambakrejo, Kota Semarang, Jawa Tengah, Indonesia. — Agensi

Dalam pada itu, jurucakap nelayan Tambakrejo, Abdullah Ahmad berkata, lawatan bot tersebut sebenarnya sudah dibuka sejak sekian lama, namun terhalang dek pandemik Covid-19.

"Sebenarnya beberapa tahun lalu, Datuk Bandar Semarang sudah merasmikannya," jelasnya.

Ujar Abdullah, pada mulanya lawatan bot itu dijalankan bagi pelancong yang ingin menikmati keindahan lautan di Kota Semarang dan Sungai BKT.

Namun, keadaan lokasi itu menjadi teruk ekoran jumlah sampah yang terlalu banyak.

"Akhirnya, kami memutuskan untuk menjadikan lawatan bot itu sebagai lawatan berbentuk pendidikan.

"Pada masa akan datang, kami akan cuba bekerjasama dengan ahli akademik atau aktivis alam sekitar untuk bersama-sama menyertai lawatan itu kerana ilmu yang kami ada masih sedikit," katanya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram