Solat Tarawih 8 jam, khatam 30 juzuk


  • Benua
  • Selasa, 05 Apr 2022

TANGKAP layar video solat tarawih terpanjang yang tular baru-baru ini. — TikTok

SEBUAH video TikTok menunjukkan jemaah sebuah sekolah agama di Indonesia mengadakan solat tarawih paling panjang, tular baru-baru ini.

Video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun @maat_smart.

Sekolah agama berkenaan adalah Pondok Pesantren al-Falah di Kampung Temboro, Magetan, Jawa Timur.

Berdasarkan video itu, jemaah sekolah agama tersebut melakukan solat tarawih terpanjang yang mengambil masa sehingga lapan jam.

Ini bermakna, solat tarawih itu bermula selepas Isyak atau pada pukul 7 malam dan berakhir kira-kira 3 pagi.

Solat tarawih selalunya dilakukan sebanyak lapan rakaat dan solat sunat witir tiga rakaat atau 20 rakaat serta solat sunat witir tiga rakaat.

Jemaah sekolah agama itu juga melakukan 20 rakaat dan solat sunat witir tiga rakaat.

Namun apa yang membuatkan solat tarawih sekolah agama berkenaan menjadi panjang adalah Imam akan membaca satu atau dua juzuk al-Quran pada setiap rakaat sehinggalah khatam 30 juzuk.

Menurut seorang pengguna TikTok yang mendakwa merupakan alumni sekolah tersebut, @penasihat_penasihat_26, jumlah juzuk yang dibaca bergantung kepada hafalan al-Quran seseorang Imam.

"Selalunya, solat tarawih itu dilakukan berdasarkan hafalan al-Quran mereka, tiada elemen paksaan.

"Ada yang baca 20 juzuk, 25 juzuk, 30 juzuk. Mereka bebas memilih," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram