SEORANG penjawat awam bukan sahaja mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan satu wau berbentuk seperti naga, malah memerlukan bantuan seramai 15 lelaki dewasa untuk menerbangkannya di Dataran Jambatan Angkat di Kuala Terengganu, Terengganu.
Pembantu Operasi di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Syed Mizan Syed Ahmad, 40, berkata, walaupun proses membuat wau sepanjang 80 meter itu mengambil masa yang lama dan agak sukar, ia memberi kepuasan apabila berjaya diterbangkan serta menarik perhatian orang ramai.
"Kos membuat wau ini lebih RM1,500...saya bukanlah pakar, cuma ada sedikit kemahiran dan menonton proses membuatnya di YouTube, akhirnya wau naga ini berjaya siap dan dapat diterbangkan dengan sempurna," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada pertunjukan Wau Naga miliknya sempena Karnival Usahawan Terengganu 2022 di Dataran Jambatan Angkat di Kuala Terengganu pada 27 Mac lalu.
Menurut Syed Mizan, antara bahan utama yang diperlukan untuk membuat Wau Naga itu ialah gentian yang dibeli khas dari Indonesia, buluh dan kertas.
"Badan Wau Naga dihasilkan menggunakan gentian manakala kerangka kepala pula diperbuat daripada buluh...rekaan naga unik, menarik dan kelihatan 'gagah' apabila diterbangkan di udara," katanya yang meminati permainan tradisional itu sejak kecil.
Syed Mizan berkata, untuk menerbangkan wau tersebut dengan sempurna, ia memerlukan bantuan ramai orang kerana jika tersalah kaedah, ia akan gagal terbang dengan baik.
"Ini adalah Wau Naga kedua yang saya buat setelah kejayaan pertama menerbangkan wau naga pada Februari tahun lepas. Memang sangat mencabar untuk buat dan terbangkan wau ini, tapi saya tetap bersemangat untuk menghasilkannya," katanya.
Beliau berkata, usahanya membuat Wau Naga itu diharap dapat mengangkat martabat permainan tradisional rakyat, walaupun ia dihasilkan dengan sedikit inovasi untuk menarik perhatian generasi muda.
"Ramai golongan belia dari Kampung Raja Chendering dan Kampung Tok Dir di Marang yang semakin berminat dengan Wau Naga. Pembuatannya memerlukan ketekunan dan kesungguhan kerana sedikit kesilapan sahaja boleh mengganggu kelancarannya terbang di udara.
"Walaupun bukan wau tradisional biasa, sekurang-kurangnya dapat menggalakkan belia melakukan aktiviti yang lebih bermanfaat bagi mengisi masa lapang," katanya.
Syed Mizan berkata, dia juga bersedia untuk membuat pertunjukan Wau Naga pada mana-mana program agar ia dapat dipertontonkan dengan lebih meluas kepada orang ramai. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram