Rogol 13 pelajar sekolah agama, ustaz dihukum tembak di jantung


  • Benua
  • Selasa, 05 Apr 2022

PERBUATAN Wirawan terbongkar selepas keluarga seorang pelajar perempuan melaporkan perbuatannya kepada polis. — Agensi

HAKIM Mahkamah Tinggi Bandung menjatuhkan hukuman mati kepada Herry Wirawan, 36, atas kesalahan merogol 13 pelajar perempuan di sekolah agama berasrama penuh di Bandung, Jawa Barat, Indonesia.

Keputusan itu dibuat selepas barisan hakim membenarkan rayuan pendakwa raya.

"Menerima rayuan daripada penuntut umum. Menghukum tertuduh dengan hukuman mati," kata hakim PT Bandung yang diketuai oleh Herri Swantoro, menurut dokumen keputusan seperti dipetik DetikJabar pada Isnin (4 April 2022).

Dalam dokumen itu, bacaan keputusan tersebut diputuskan di mahkamah terbuka pada Isnin. Hakim dalam keputusannya turut membetulkan keputusan Mahkamah Daerah Bandung yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Herry Wirawan.

Tribun Timur melaporkan, apabila hukuman mati itu dilaksanakan kelak, Herry Wirawan akan ditembak tepat pada bahagian jantung dari jarak dekat iaitu antara lima meter hingga 10 meter.

Kejadian tersebut merupakan salah satu kes yang menarik perhatian Indonesia berhubung penderaan seksual yang berlaku di sekolah agama berasrama penuh.

Mahkamah Daerah Bandung di Jawa Barat mendapati Herry Wirawan bersalah merogol 13 pelajar perempuan, kesemuanya di bawah umur dan sekurang-kurangnya lapan daripada mereka hamil.

Di dalam prosiding, tertuduh didapati merogol kanak-kanak yang rata-ratanya daripada keluarga miskin dan bersekolah dengan pembiayaan biasiswa selama lima tahun.

Perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas keluarga seorang pelajar perempuan melaporkan Wirawan kepada polis kerana merogol dan menghamilkan anak perempuan mereka pada 2021.

Pendedahan itu mencetuskan kemarahan negara, dengan seorang pegawai kanan kerajaan berkata, Presiden Joko Widodo memberi perhatian khusus kepada kes itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram