Lelaki ‘samurai’ ditahan selepas libas orang awam


  • Benua
  • Selasa, 15 Mac 2022

TANGKAP layar rakaman video lelaki itu menyerang orang awam di luar sebuah pusat beli-belah di Singapura. — Twitter MrBrown

SEORANG lelaki yang tular kerana menghayunkan pedang samurai di tempat awam lalu menyerang orang ramai dan kereta yang sedang lalu-lalang di Singapura pada Selasa, telah ditangkap.

RAKAMAN lelaki itu mengamuk hayun pedang samurai dan cederakan orang awam.

Lelaki yang tidak dikenali itu ditahan kerana ugutan jenayah dan memiliki senjata serangan selepas dia merosakkan sekurang-kurangnya tiga kereta di luar pusat beli-belah Dataran Buangkok, Singapura serta dua orang awam.

Menurut pihak polis, lelaki itu mengalami kecederaan ringan.

Polis berkata, mereka dimaklumkan kira-kira pukul 1.55 petang mengenai tindakan lelaki itu yang dirakam berdiri di tengah jalan sebelum melibas kereta menggunakan pedang serta menyerang seorang lelaki di lampu isyarat.

Dalam salah satu video tular, lelaki itu muncul di tengah jalan secara rawak sebelum bertindak melampau.

Seramai empat orang awam berlari untuk membantu dan menghalang lelaki itu dari bertindak lebih bahaya kepada orang ramai.

Pihak polis berkata, sekurang-kurangnya tiga kereta telah dilibas dan dua orang cedera sambil menambah bahawa pedang tersebut turut dirampas sebagai bahan bukti.

Saksi berkata, penyerang tersebut tidak sedarkan diri ketika polis tiba dan terdapat darah padanya dan mangsa yang lain.

Dalam pada itu, jika didapati bersalah memiliki senjata serangan, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan dirotan.

Bagi ugutan jenayah, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda.

Polis sedang menyiasat motif sebenar kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram