Pemain Sabah FC, Rizal Ghazali dalam bahaya tolak panggilan Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 15 Mac 2022

FAM tidak menerima sebarang surat rasmi menyatakan sebab mengapa Rizal menolak pelawaan tersebut. — The Star

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan tindakan pemain Sabah FC, Rizal Ghazali menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, ia berikutan latihan skuad Harimau Malaya tersebut diadakan luar dari tarikh Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA dengan tiada sebarang tindakan boleh diambil terhadap pemain pertahanan itu.

"Kita hanya boleh mengambil tindakan jika beliau tidak menghadiri latihan kebangsaan pada tarikh FIFA tersebut, jadi apa yang boleh dilakukan hanyalah menunggu sampai tarikh tersebut iaitu pada 21 Mac 2022.

"Jika pada tarikh tersebut beliau tidak menghadirkan diri, kita akan bawa perkara ini kepada jawatankuasa tatatertib yang boleh mengambil keputusan dan sebarang tindakan ke atas beliau," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur.

Kalendar FIFA bagi bulan ini berlangsung pada 21 hingga 29 Mac 2022.

Mohd Saifuddin berkata, pihaknya pada masa sama tidak menerima sebarang surat rasmi menyatakan sebab mengapa Rizal menolak pelawaan untuk turut serta dalam skuad kebangsaan susulan pemakluman dibuat FAM semalam menerusi kenyataan.

"Saya hanya dimaklumkan oleh jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon bahawa pemain itu tidak turut serta hadir," katanya.

Ditanya mengenai bentuk hukuman terhadap pemain yang menolak menyertai skuad kebangsaan, beliau berkata tindakan penggantungan bermain dalam liga domestik selain hukuman denda RM25,000 boleh dikenakan.

Semalam, Pan Gon menerusi kenyataan dikeluarkan FAM memaklumkan, pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee, diumum menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula semalam menjelang kunjungan ke Singapura minggu depan bagi menghadapi saingan Siri Tiga-Negara FAS 2022.

Ahmad Khuzaimi dipilih bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Syahmi Safari yang memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.

Menurut kenyataan itu, Pan Gon memaklumkan perancangan asal adalah bagi menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi sama iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali menolak pelawaan tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram