SEORANG lelaki parah dibelasah ketika cuba menghalang penjenayah yang mahu melarikan motosikal dalam kejadian di Ciledug, Kota Tangerang, Indonesia.
Pegawai polis, Kompol Abdul Rachim berkata, kejadian pada Rabu itu bermula apabila saksi, Feby Iswanto, 20, ternampak salah seorang suspek dalam cubaan melarikan motosikal.
"Ketika saksi berada di sebuah rumah, dia melihat seorang pencuri menolak motosikal keluar melalui hadapan rumahnya dan juga jirannya," katanya.
Beliau berkata, saksi yang melihat kejadian itu lantas menjerit ke arah suspek sebelum mengejar kesemua empat suspek tersebut.
"Kesemua suspek tidak berdiam diri lalu berhenti untuk menyerang mangsa," katanya sambil menambah suspek kemudian meninggalkan saksi dengan membawa motosikal itu menuju ke Desa Peninggilan.
Pihak berkuasa kini masih belum dapat mengesan lokasi sebenar keempat-empat suspek tersebut.
Sementara itu, Kompol berkata, motosikal tersebut merupakan milik seorang lelaki dikenali Rizky Ardiansyah, 25, yang dilarikan dalam garaj yang tidak berkunci.
Menurutnya, empat suspek itu membahagikan tugas masing-masing, yang mana hanya seorang daripada mereka perlu mengeluarkan motosikal dan selebihnya berkawal di hadapan rumah mangsa.
"Sekitar jam 4.30 petang Rabu, tiga suspek berjaga di atas dua buah motosikal di depan rumah tempat kejadian, manakala seorang daripadanya menolak motosikal itu keluar ke jalan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram