Penggunaan alat poligraf dalam siasatan kematian Tangmo jadi persoalan


  • Benua
  • Jumaat, 04 Mac 2022

KEMATIAN Tangmo Nida akibat mati lemas di Sungai Chao Phraya menjadi tanda tanya sama ada ia disebabkan kemalangan atau akibat perbuatan khianat. — Agensi

POLIS yang menyiasat kes kematian pelakon Tangmo Nida atau Nida Patcharaveerapong dilapor menggunakan alat pengesan pembohongan atau poligraf selepas berasa sangsi dengan keterangan saksi.

Ujian poligraf disifatkan perlu dalam situasi itu berikutan kenyataan bercanggah yang diberikan oleh lima individu yang bersama Tangmo di dalam bot laju ketika dia jatuh ke dalam Sungai Chao Phraya pada malam 24 Februari lalu.

Persoalannya yang ingin dijawab oleh penyiasat ialah sama ada kematian Tangmo adalah kemalangan atau akibat perbuatan khianat.

Dalam usaha untuk mengetahui siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong, pihak polis telah beralih kepada ujian poligraf.

Poligraf ialah teknik penyiasatan yang telah diguna pakai sekian lama tetapi agak kontroversial. Polis Thailand telah menggunakan alat itu dalam beberapa kes profil tinggi yang mana suspek dan saksi telah memberikan keterangan yang bercanggah.

Ramai penyelidik dan pakar jenayah menegaskan bahawa ujian poligraf bukan suatu alat yang bagus untuk menentukan sama ada seseorang itu berbohong atau tidak. Mereka juga mengkritik istilah 'pengesan pembohongan' untuk menggambarkan poligraf sebagai satu nama yang salah.

Mahkamah di kebanyakan negara termasuk Mahkamah Tinggi Thailand - telah berulang kali menolak penggunaan bukti poligraf kerana sifatnya yang tidak boleh dipercayai.

Ketika menjawab ujian poligraf, subjek dikehendaki menjawab soalan dengan alat pengesan merekodkan nadi, kadar pernafasan, tekanan darah, peluh, pergerakan anggota badan dan pengembangan saiz anak mata.

Penjenayah perdaya pemeriksa poligraf

Pada masa sama, tindak balas fisiologi subjek direkodkan pada poligraf dan kemudian diperiksa untuk melihat sama ada ia berubah dengan ketara semasa jawapan diberikan terhadap mana-mana soalan.

Secara umumnya, perubahan ketara seperti degupan jantung lebih laju, tekanan darah lebih tinggi dan kerap peluh diambil sebagai tanda bahawa subjek tidak bercakap benar.

Pemeriksa poligraf terlatih mendakwa mereka boleh mengesan pembohongan dengan ketepatan yang tinggi.

Bagaimanapun, pengkritik mengatakan poligraf tidak berkesan kerana ia tidak dapat membezakan antara perubahan fisiologi yang disebabkan oleh pembohongan dengan perubahan berpunca daripada kebimbangan lain. Dalam erti kata lain, orang yang tidak bersalah boleh gagal ujian poligraf kerana rasa gementar.

Thailand-crime-polygraph_web

Ujian poligraf juga dijalankan ke atas suspek dan saksi dalam kes berprofil tinggi — Agensi

Terdapat juga kes yang mana penjenayah telah memperdaya pemeriksa poligraf dengan helah seperti mengambil ubat yang mengubah corak rangsangan mereka.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Thailand menolak keputusan poligraf sebagai bukti bersalah dalam kes pembunuhan, memetik sifat subjektif ujian itu.

“Pengesan pembohongan hanyalah alat saintifik yang bergantung kepada analisis jawapan defendan untuk menentukan sama ada dia bercakap benar atau berbohong.

"Itu hanyalah ulasan akademik dan tidak boleh digunakan untuk membuktikan dengan jelas bahawa defendan melakukan kesalahan itu.

"Pengesan pembohongan dan komen daripada pakar poligraf tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa defendan melakukan pembunuhan itu,” demikian keputusan mahkamah. Kes itu diketepikan kerana bukti tidak mencukupi.

Kegunaan dalam kes berprofil tinggi

Ujian poligraf juga telah dijalankan ke atas suspek dan saksi dalam kes berprofil tinggi lain di negara Gajah Putih itu.

Ini termasuk kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun pada 2020 di wilayah Mukdahan, yang mana bapa saudaranya menjadi suspek.

Lelaki berusia 44 tahun itu, Chaipol Wipha dan isterinya serta ibu bapa dan saudara mara kanak-kanak itu telah menjalani ujian poligraf.

Kisah itu akhirnya berakhir setahun kemudian apabila polis mendakwa Chaipol dengan kes pembunuhan kanak-kanak malang berkenaan.

Dua lagi kes berprofil tinggi telah menyaksikan penyiasat menggunakan ujian poligraf dalam usaha untuk menangkap suspek mereka.

Suspek tersebut ialah pelajar perubatan Serm Sakhonrat, yang didapati bersalah dalam pembunuhan teman wanitanya pada 1998.

Satu lagi kes lain membabitkan pemandu teksi Sompong Luedthahan, yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana penipuan.

Pada 1997, pemandu teksi itu telah mendapat pujian orang ramai dan menerima ganjaran wang tunai lebih 200,000 baht selepas mendakwa dia telah memulangkan sejumlah 20 juta baht yang ditinggalkan dalam teksi oleh penumpang warga asing yang dibawanya ke lapangan terbang.

Bagaimanapun Sompong didapati berbohong. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram