Kes Tangmo Nida lemas, lima kawan kena soal siasat


  • Benua
  • Selasa, 01 Mac 2022

PEGAWAI forensik membawa bukti berkaitan kematian pelakon itu di balai polis daerah Nonthaburi Muang pada Selasa selepas lima rakan mangsa melaporkan diri kepada polis untuk sesi soal siasat dan ujian lanjut. — Agensi

MAYAT pelakon Thailand, Tangmo Nida, 38, akhirnya dijumpai oleh pasukan penyelamat tempatan pada Ahad.

Pelakon wanita itu terjatuh ke dalam sungai pada 11 malam Khamis lalu, ketika menaiki sebuah bot di Sungai Chao Phraya bersama-sama rakannya.

Susulan itu, pegawai forensik membawa bukti berkaitan kematian pelakon itu di balai polis daerah Nonthaburi Muang pada Selasa selepas lima rakan mangsa melaporkan diri kepada polis untuk sesi soal siasat dan ujian lanjut.

Antara bukti yang dibawa termasuk botol wain, gelas dan pembalut plastik.

Seorang daripada lima rakannya itu ialah Kratik juga merupakan pengurus pelakon itu membawa pakaian yang dipakai oleh si mati pada malam dia terjatuh ke dalam sungai, untuk diserahkan kepada polis sebagai bukti.

Pada Isnin malam, polis yang menyiasat kes itu membawa salah seorang saksi yang juga merupakan antara enam orang yang bersama mangsa di atas bot laju berkenaan untuk mengambil bahagian dalam lakonan semula di tempat kejadian.

Saksi, Wisapat Manomairat, ataupun dikenali sebagai “Sand”, mendakwa bahawa Nida memegang kakinya ketika dia membuang air kecil di atas pintu depan bot, sebelum mangsa terjatuh ke dalam sungai pada malam Khamis lalu.

Polis berkata pada Selasa, pegawai forensik akan memeriksa semula Wisapat secara fizikal.

Mahkamah wilayah Nonthaburi telah pun mengeluarkan waran penahanan dua individu iaitu pemilik bot laju dan jurumudi yang membawa bot itu ketika Nida terjatuh. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram