Lima kawan Tangmo mungkin kena dakwa, bagi kenyataan palsu — Polis


  • Benua
  • Khamis, 03 Mac 2022

POLIS menyoal siasat lima penumpang yang berada di atas bot pada malam kejadian menggunakan ujian poligraf. — Agensi

POLIS sedang mempertimbangkan sama ada mahu mendakwa kelima-lima rakan pelakon Thailand, Tangmo Nida atas kesalahan kecuaian yang membawa kepada kematian dan membuat kenyataan palsu.

Selepas aktres itu terjatuh ke dalam sungai dan lemas, salah seorang penumpang bot laju itu menelefon beberapa rakannya yang berpengaruh untuk mendapatkan nasihat, menurut rekod perbualan telefon yang diperoleh Polis Wilayah 1.

Dalam salah satu panggilannya, lelaki itu mengakui bahawa tekong yang tidak berlesen telah membawa bot itu secara terhuyung-hayang dan menyebabkan Tangmo tidak stabil, mengakibatkan aktres itu terjatuh ke laut dan menyebabkan kipas bot terkena kaki kanannya dan lemas.

Keadaan sebenar di atas bot pada malam kejadian masih belum dapat dipastikan, bagaimanapun, video yang dirakam di telefon bimbit pengurusnya sebelum kemalangan itu menunjukkan Tangmo sedang meminum wain dan bermain dengan rambutnya berhampiran bahagian belakang bot.

Turut kedengaran seorang lelaki menjerit, “Awak bawa kawan awak ke sini! Awak bawa kawan dia ke sini!”

Nelayan di kawasan itu turut mendakwa melihat bot itu meluncur laju dan membelok tajam di permukaan air.

Selain itu, sekeping gambar yang tersebar menunjukkan Tangmo memeluk pengurusnya di bahagian belakang bot, kononnya diambil pada jam 9.56 malam hari kejadian, telah terbukti diambil lebih awal sebelum lampu Jambatan Rama VIII dipadamkan secara automatik pada jam 9 malam.

Ini turut menjelaskan mengapa keadaan air menjadi sangat gelap pada saat Tangmo terjatuh. Namun, tidak diketahui mengapa data pada foto itu diubah.

Sementara itu, dua daripada lelaki yang berada di atas bot itu dilaporkan cuba mengelak dikesan daripada kes itu, dengan salah seorang dimasukkan ke hospital manakala seorang lagi menjadi sami.

Di saat kebenaran kematian tragis Tangmo terbongkar, lebih ramai saksi dijangka akan tampil membuat kenyataan datang tidak lama lagi, ditambah dengan tuduhan kecuaian yang membawa kepada kematian dan membuat kenyataan palsu.

Walaupun kematian Tangmo kelihatan tidak disengajakan, kelima-lima rakan aktres itu dilihat telah berkomplot untuk menjadikan kematiannya kelihatan seperti kemalangan semata-mata.

Selepas berasa tidak percaya dan ragu terhadap dakwaan saksi-saksi, polis telah menyoal siasat semula lima penumpang yang berada di atas bot pada malam kejadian menggunakan ujian poligraf.

Polis telah meminta saksi untuk melakonkan semula apa yang berlaku di atas bot pada malam Tangmo meninggal dunia.

Lakonan semula dilakukan seorang demi seorang di atas bot yang sama kejadian itu berlaku.

Laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada Rabu menyimpulkan bahawa Tangmo lemas di sungai. Tetapi pakar forensik tidak dapat mengesahkan butiran penting dalam dakwaan saksi, termasuk sama ada Tangmo sedang membuang air kecil ketika beliau terjatuh atau telah ditolak, serta apa yang menyebabkan luka di kakinya dan sama ada luka itu berlaku sebelum atau selepas beliau lemas.

Sementara itu, polis sedang bermesyuarat di wilayah Nonthaburi utara Bangkok berhampiran tempat kejadian untuk membincangkan maklumat yang dikumpul daripada siasatan setakat ini.

Mereka juga telah menemu bual nelayan di kawasan itu, yang mengatakan mereka melihat bot itu meluncur laju dan membelok tajam di permukaan air.

Menurut pihak polis, mereka akan menyambung mesyuarat pada Khamis. Sehingga kini, masih tiada sebarang pengumuman dibuat berhubung hasil siasatan yang sedang dijalankan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram