RUSIA dan Ukraine dalam rundingan pusingan kedua di Belarus pada Khamis bersetuju mewujudkan koridor kemanusiaan untuk memindahkan orang awam, demikian disahkan oleh Penasihat Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Mykhailo Podoliak melalui Twitter.
"Penyelesaian hanya untuk mewujudkan koridor kemanusiaan," ciap Podoliak, lapor Xinhua.
Kedua-dua pihak membincangkan isu ketenteraan, kemanusiaan, dan penyelesaian politik masa depan ekoran konflik itu, kata pembantu presiden yang juga ketua delegasi Rusia, Vladimir Medinsky.
"Pendirian telah dibuat dengan jelas... untuk sebahagian daripadanya, kami berjaya mencapai persefahaman," katanya sambil menyebut bahawa langkah mewujudkan koridor kemanusiaan adalah 'kemajuan yang besar'.
Agensi berita TASS Rusia pada awal Khamis melaporkan rundingan pusingan kedua telah berakhir.
Podoliak dalam taklimat media berkata, pusingan ketiga rundingan damai mungkin berlaku tidak lama lagi, seperti dilaporkan media Ukraine.
Terdahulu hari itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, ketika mengulas mengenai rundingan damai berkata bahawa 'sebarang perbincangan' adalah munasabah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram