SEBANYAK lima buah kereta mengalami kerosakan selepas sebuah lori yang diparkir di bahu jalan berhampiran Persiaran Damai Perdana, Balakong, Selangor bergerak sendiri sebelum merempuh kenderaan lain dalam kejadian pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 12.45 tengah hari.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang diparkir di bahu jalan bergerak sendiri selepas ditinggalkan pemandunya, lapor Buletin TV3.
BACA LAGI: Tiada DNA asing pada senjata, polis kaitkan kemurungan motif pembunuhan suami isteri di Sri Aman
BACA LAGI: Tambang komuter percuma 2 hari sempena Thaipusam, babit kos hampir RM1 juta
“Difahamkan pemandu lori terbabit meninggalkan kenderaan tersebut untuk makan di lokasi berhampiran sebelum lori itu bergerak dan melanggar lima kenderaan yang berada di kiri dan kanan jalan.
“Akibat kejadian itu, kesemua kenderaan terlibat mengalami kerosakan, namun pemandu dan penumpang kenderaan yang dilanggar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-381 8422,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan jalan raya dan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
