Masih Perak di hati, Wan Zack tinggalkan Penang demi kelab lama


  • Podium
  • Khamis, 29 Jan 2026

Wan Zack bakal memainkan peranan penting dalam membantu Perak FA mengharungi saingan Piala Cabaran. — Facebook/Perak FC

BEKAS kapten Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor kini menjadi pilihan utama Perak FA bagi membantu pasukan itu mengharungi cabaran Piala Cabaran selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Perak FA terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Piala Malaysia selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan pusingan 16.

Susulan kelayakan ke Piala Cabaran, Perak FA tampak mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan tersebut dengan merekrut seorang pemain berprofil tinggi, berstatus bekas pemain kebangsaan dan bintang Liga Super.

BACA LAGI: Pengalaman luas di Asia dan Eropah, arkitek baharu tak sabar bantu Selangor kejar kejuaraan

BACA LAGI: ‘Tiada ribut kekal selamanya’, Holgado tarik nafas lega penggantungan ditangguhkan

Wan Zack memberi bayangan bakal beraksi untuk Perak FA.

Menariknya, Perak FA yang kini beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro memilih untuk membawa pulang bekas tonggak Perak FC itu yang sebelum ini beraksi bersama Penang FC namun difahamkan telah meleraikan ikatan bersama kelab berkenaan bagi kembali memperkuatkan The Bos Gaurus.

Perkembangan itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam yang mengesahkan kepulangan Wan Zack ke pangkuan Perak.

“Wan Zack Haikal Wan Noor dilihat jadi pilihan Perak FA, welcome back captain,” katanya.

Perkara tersebut dikuatkan lagi apabila Wan Zack menerusi satu hantaran di laman Instagram seolah-olah memberi bayangan mengenai perpindahannya itu.

“Hidup ini seperti sate di pasar; ada yang mencucuk, ada yang membakar, ada yang mengipas, dan ada yang sekadar melihat. Yang paling seronok ialah mereka yang makan dan merasainya,” katanya sambil menyebut akaun rasmi Perak FA di Instagram.

Perak kini diletakkan harapan tinggi untuk mara jauh dalam kempen Piala Cabaran selepas mempamerkan aksi meyakinkan dalam Piala Malaysia.

Anak-anak buah kendalian Syamsul Saad sebelum ini hampir mencipta kejutan ke atas juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC sebelum tewas tipis 2-3 secara agregat dalam pusingan 16.

Bekas pemain skuad kebangsaan itu sebelum ini beraksi buat Perak FC selama tiga musim, bermula ketika mereka beraksi dalam Liga Perdana 2022.

Sepanjang tiga musim bersama skuad The Bos Gaurus, Wan Zack memainkan peranan penting terutamanya menjadi figura berpengaruh buat pemain muda dalam pasukan yang berusaha keras untuk membangun.

Dia yang tidak putus memberi aksi terbaik buat kelab tersebut juga pernah diberi peranan sebagai kapten memandangkan pengalaman dimilikinya cukup berharga buat barisan kejurulatihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram