PEREKA fesyen terkenal dan bekas anggota kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham menerima pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Kebudayaan Perancis atas sumbangannya dalam industri fesyen dan hiburan antarabangsa.
Victoria, 51, dianugerahkan gelaran The Knight of the Order of Arts and Letters (atau Chevalière de l’Ordre des Arts et des Lettres) dalam satu majlis tertutup di Paris pada 26 Januari lalu.
Majlis tersebut diadakan secara sederhana tanpa kehadiran media bagi mengelakkan tumpuan awam susulan kontroversi keluarga yang membabitkan anak sulungnya, Brooklyn Beckham baru-baru ini.
BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius
Bekas penyanyi itu hadir ke ibu negara Perancis bersama suaminya, legenda bola sepak England, David Beckham serta anak-anak mereka kecuali Brooklyn.
Lawatan tersebut dibuat selepas pasangan itu menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 bekas rakan Spice Girls, Emma Bunton yang digelar Baby Spice.
Dalam ucapannya, Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati memuji perjalanan kerjaya Victoria yang disifatkan berjaya membina hubungan kukuh dan berpanjangan dengan Perancis.
“Melalui perjalanan, hasil kerja dan komitmen anda, anda telah menjalin ikatan yang mendalam, tulus dan berkekalan dengan Perancis,” kata Dati.
Victoria mula menampilkan koleksi fesyennya di Paris sejak 2022 selepas sebelum ini mengadakan pertunjukan di London dan New York, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pereka fesyen bertaraf global.
Bagaimanapun, majlis penganugerahan itu berlangsung dalam suasana penuh privasi berikutan dakwaan mengejutkan oleh Brooklyn Beckham minggu lalu yang mendakwa ibu bapanya cuba merosakkan hubungannya dengan isteri, Nicola Peltz.
Dalam satu hantaran di media sosial, Brooklyn mendakwa Victoria pernah mengambil alih tarian pertamanya pada hari perkahwinannya dan bertindak tidak sesuai
Rakaman video majlis oleh majalah Paris Match menunjukkan David Beckham serta ahli keluarga lain hadir memberikan sokongan, selain beberapa tokoh besar industri fesyen Perancis termasuk Antoine Arnault dan François-Henri Pinault.
The Knight of the Order of Arts and Letters diberikan kepada individu yang dianggap menyumbang besar kepada kehidupan budaya negara itu dan berbeza daripada Legion of Honour (Legion d’Honneur) yang merupakan anugerah tertinggi negara tersebut.
Minggu lalu, Presiden Perancis Emmanuel Macron menganugerahkan Legion of Honour kepada pereka Louis Vuitton dan artis muzik, Pharrell Williams, dalam satu majlis tertutup.
Sebelum ini, David Beckham menerima gelaran kesatria daripada Raja Charles III pada November lalu, yang disifatkannya sebagai detik paling membanggakan dalam hidupnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
