Gergasi Vietnam tak beraksi lebih sebulan, Selangor patut ambil kesempatan


  • Podium
  • Rabu, 28 Jan 2026

Skuad Gergasi Merah tampil dengan kelebihan begitu besar apabila berada dalam prestasi lebih baik berbanding pihak lawan. — Facebook/Selangor FC

SKUAD Gergasi Merah berpeluang mencerahkan peluang untuk melepasi peringkat kumpulan Piala Shopee 2025/26 apabila akan bertemu wakil Vietnam, CAHN FC pada Rabu.

Pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor itu akan menjadi ujian hebat buat kedua-dua pasukan kerana masing-masing masih berpotensi untuk ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan lebih besar kerana bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri selain kini berada di tangga kedua Kumpulan A.

BACA LAGI: Awas Harimau Malaya, bintang naturalisasi Vietnam kembali temui sentuhan, ledak hatrik di Piala Shopee

BACA LAGI: Pengalaman luas di Asia dan Eropah, arkitek baharu tak sabar bantu Selangor kejar kejuaraan

CAHN FC sedang sibuk melakukan persiapan bagi perlawanan penting dalam Piala Shopee.

Bagi CAHN FC pula, empat mata terkumpul selepas tiga perlawanan meletakkan pasukan bimbingan Alexander Polking itu di tangga keempat.

Malah, perlawanan kali ini menjadi ujian begitu besar buat kelab tersebut yang kali terakhir beraksi secara kompetitif lebih sebulan lalu.

Perkara tersebut dikongsikan di laman Facebook BiKem Studio yang menjelaskan saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) membuatkan saingan Liga Vietnam terhenti sementara.

"Untuk rekod, kali terakhir CAHN beraksi dalam perlawanan kompetitif adalah pada 18 Disember lepas di mana mereka menang 3-1 ke atas Hoang Anh Gia Lai (HAGL).

"Selepas itu, saingan domestik Liga Vietnam dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada skuad B-23 Vietnam yang beraksi dalam Piala Asia B-23 di Arab Saudi," tulisnya.

Tempoh begitu lama itu semestinya memberi impak kepada barisan pemain CAHN FC kerana sesi di padang latihan sahaja tidak cukup untuk memastikan setiap pemain berada dalam keadaan terbaik.

Ini memberi peluang terbaik buat Selangor FC untuk meraih kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan Piala Shopee musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam carta.

Sekiranya meraih kemenangan ke atas CAHN FC, skuad Gergasi Merah sudah selangkah untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Tetapi, sekiranya mengalami kekalahan atau hanya pulang dengan satu mata, wakil negara itu masih berpeluang apabila bakal berdepan kelab Thailand, BG Pathum United pada 4 Februari depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram