PEMAIN beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin menjadi sasaran serangan dan ugutan dalam talian selepas dia dan Teo Ee Yi tersingkir pada pusingan pembukaan Kejohanan Badminton Masters Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia pada Selasa.
Yew Sin mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran di laman Instagram dengan memuat naik tangkapan skrin mesej berunsur ancaman yang diterimanya susulan kekalahan pasangan negara itu 18-21, 15-21 kepada beregu Chinese Taipei, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan.
Antara kandungan mesej daripada sebuah akaun Instagram yang menggunakan nama jaychen73 itu mengandungi ugutan serius termasuk ancaman untuk mencederakan Ee Yi sekiranya mereka terus mencatat keputusan mengecewakan.
BACA LAGI: Khabar duka di kem Sabah, dengarnya penyerang berbisa The Rhinos seberang Laut China Selatan

Tangkap layar hantaran Yew Sin di laman Instagram.
“Kalian patut bersara sahaja. Saya akan melakukan segala yang termampu untuk memaksa kamu bersara.
“Jika kamu terus gagal dan tewas kepada lawan yang sepatutnya bukan masalah, suatu hari nanti saya akan datang dan perkara buruk akan berlaku.
“Saya akan membawa pisau dan menetak tangan Ee Yi supaya kamu terpaksa menukar pasangan atau bersara,” menurut mesej berkenaan.
Insiden itu menjadi kes terbaharu melibatkan serangan serta ugutan dalam talian terhadap pemain badminton negara yang semakin membimbangkan dan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan atlet. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
