MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa dasar membenarkan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun bukan bertujuan menjadikan kanak-kanak sebagai bahan eksperimen, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berfasa dan disokong mekanisme saringan yang menyeluruh.
Beliau berkata, dasar berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dibentangkan serta dibahaskan di Dewan Rakyat, selain hasil sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Anak-anak kita bukan untuk ujian makmal atau ‘tikus makmal’. Sebab itu kita menegaskan dasar ini bukan bersifat rintis.
BACA LAGI: 'Jangan panik', ujian diagnostik tentukan kelayakan murid 6 tahun masuk Tahun 1 mulai 2027
BACA LAGI: Murid darjah 1 bermula usia 6 tahun, tamat sekolah menengah umur 16 — KPM
"Sebaliknya dilaksanakan secara berfasa dan sukarela dengan sokongan diagnostik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuk menerusi Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara, portal cadangan pendidikan masa hadapan serta perbincangan di peringkat akar umbi yang memberi tumpuan kepada isu pendidikan awal kanak-kanak.
Menurutnya, kemasukan murid berusia enam tahun adalah secara sukarela dan hanya ditawarkan kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia berdasarkan saringan diagnostik yang ditetapkan oleh kementerian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. — Facebook
Beliau berkata, pelaksanaan dasar tersebut turut disokong bantuan psikososial bagi memastikan proses penyesuaian murid berjalan lancar, memandangkan ia melibatkan peralihan kepada persekitaran pembelajaran formal.
Selain itu, Fadhlina menegaskan dasar berkenaan tidak bertujuan mempercepatkan pembelajaran akademik atau mewujudkan persaingan dalam kalangan ibu bapa, sebaliknya memberi penekanan kepada pengukuhan kemahiran asas mengikut tahap perkembangan murid.
“Keutamaan adalah memastikan murid menguasai literasi, numerasi dan kemahiran pembelajaran asas, di samping menjaga kebajikan serta kepentingan kanak-kanak sebagai teras dasar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui kebimbangan ibu bapa berkaitan kesiapsiagaan sekolah, kemudahan bilik darjah dan bilangan guru adalah wajar serta perlu ditangani secara serius.
Sehubungan itu, katanya, KPM telah membuat unjuran keperluan guru bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan mengambil langkah proaktif termasuk mempercepatkan pengambilan guru secara Contract of Service (COS).
Beliau berkata, kementerian juga telah melaksanakan pemetaan awal bagi mengenal pasti negeri dan sekolah yang dijangka menerima permintaan tinggi susulan pelaksanaan dasar berkenaan, selain bersedia melaksanakan projek pembinaan bilik darjah tambahan secara berperingkat.
Pada masa sama, Fadhlina memberi jaminan bahawa dasar tersebut hanya akan dilaksanakan selepas persiapan menyeluruh dibuat, meliputi aspek prasarana, sumber manusia dan sokongan pembelajaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
