Samu Castillejo dikait ke Persib Bandung, isu kecederaan-trauma masa lalu jadi halangan perpindahan


  • Podium
  • Rabu, 21 Jan 2026

Setakat ini, Castillejo hanya mencetak satu bantuan jaringan dalam 11 aksi bersama JDT. — Facebook/JDT

AKTIVITI perpindahan Persib Bandung pada awal musim 2026 dilihat masih rancak apabila kelab gergasi Indonesia itu kini dikaitkan dengan nama bekas pemain sayap AC Milan, Samu Castillejo.

Selepas hangat dengan spekulasi membabitkan Layvin Kurzawa, Castillejo pula dilaporkan berpotensi menjadi rekrut baharu pasukan yang dikenali sebagai Maung Bandung itu bagi memperkuatkan jentera serangan mereka.

Pemain berusia 31 tahun itu ketika ini beraksi bersama juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), namun dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mencari destinasi baharu demi mendapatkan minit permainan lebih konsisten.

BACA LAGI: Tak sampai setahun di Iskandar Puteri, bek kental JDT dalam radar kelab Argentina

BACA LAGI: Dahulu watak ikat JDT di SSI, bekas tonggak Sri Pahang kini penjual kereta

Spekulasi perpindahan Castillejo ke Indonesia semakin menguat susulan keputusan rakan sepasukannya di JDT, Moussa Sidibe yang sah kembali beraksi di Indonesia selepas menyertai Bhayangkara FC.

Untuk rekod, Castillejo dan Sidibe berdepan situasi hampir sama di JDT apabila kedua-duanya bergelut untuk menembusi kesebelasan utama The Southern Tigers berikutan persaingan sengit di barisan hadapan.

Setakat ini, Castillejo hanya merekodkan empat penampilan dalam saingan Liga Super Malaysia serta satu aksi dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranannya dalam perancangan pasukan.

Kekurangan peluang beraksi itu menjadikan perpindahan ke Liga Super Indonesia sebagai pilihan realistik buat pemain bernombor jersi 70 berkenaan, meskipun dia memiliki reputasi besar hasil pengalaman beraksi di pentas Eropah.

 

 

Namun begitu, perpindahan Castillejo bukan tanpa risiko berikutan laman bola sepak tempatan, termasuk Palatao_Bola menyoroti dua aspek utama yang perlu diberi perhatian oleh Persib.

Berdasarkan hantaran Palatao Bola, yang pertama ialah rekod kecederaan pemain itu yang dipercayai menjadi faktor utama beliau gagal bersaing untuk mendapatkan tempat tetap dalam skuad utama JDT.

Selain itu, faktor keselamatan peribadi turut menjadi keutamaan Castillejo selepas dilaporkan pernah menjadi mangsa rompakan sebelum ini, sekali gus mendorong dia memilih kelab yang mampu menjamin keselamatannya.

Sekiranya Persib serius untuk mendapatkan khidmat Castillejo pada jendela perpindahan Januari ini, pengurusan kelab perlu menebus baki kontrak pemain tersebut yang hanya akan berakhir pada Mei 2026.

Hodak memberi gambaran tidak bercadang melakukan rombakan pada jendela perpindahan Januari. — Agensi

Mengulas spekulasi berhubung kemasukan pemain bintang ke pasukannya, ketua jurulatih Persib, Bojan Hodak, bagaimanapun memilih untuk kekal tenang dan berpendirian realistik.

Jurulatih kelahiran Croatia berkenaan menegaskan bahawa dia tidak bercadang melakukan rombakan besar-besaran di pertengahan musim.

"Kami sudah melakukan perubahan besar pada awal musim. Mungkin hanya satu atau dua pemain yang prestasinya kurang memuaskan akan diganti. Saya rasa tidak akan berlaku banyak perubahan," katanya pada Isnin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram