UJIAN saringan diagnostik khas akan digunakan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, hanya murid yang memenuhi kriteria dan melepasi ujian diagnostik berkenaan akan dipilih untuk kemasukan itu.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan ibu bapa yang berminat perlu mendaftarkan anak masing-masing bagi menduduki ujian saringan tersebut yang dijadualkan dilaksanakan tahun ini dengan perinciannya akan diumumkan kelak.
BACA LAGI: Murid darjah 1 bermula usia 6 tahun, tamat sekolah menengah umur 16 — KPM
BACA LAGI: Darjah 1 bermula umur 6 tahun, peperiksaan Darjah 4 diperkenal — PM Anwar

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. — Facebook
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan bahawa kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun bukanlah satu kewajipan kepada semua ibu bapa.
Sebaliknya, ia ditawarkan sebagai pilihan, manakala kanak-kanak lain masih boleh mengikuti sistem sedia ada dengan memasuki Tahun Satu pada usia tujuh tahun.
“Pertama, ibu bapa jangan panik. Itu paling penting. Perlu bertenang dan melihat perkara ini sebagai satu pembaharuan dalam sistem pendidikan.
“Ia bukan sesuatu yang asing kerana sudah dilaksanakan di beberapa negara lain. Justeru, kita memulakannya secara tidak wajib dan sebagai satu pilihan,” katanya.
Menurut beliau, walaupun ditawarkan sebagai pilihan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak memberi kebebasan sepenuhnya tanpa panduan, sebaliknya menekankan aspek kebersediaan kanak-kanak melalui pelaksanaan ujian diagnostik.
“Ujian ini bertujuan mengenal pasti sama ada kanak-kanak bersedia dari segi psikoemosi, tahap kemahiran serta keupayaan untuk mengikuti pembelajaran dalam kelas Tahun Satu dengan baik,” jelasnya.

Kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun bukanlah satu kewajipan kepada semua ibu bapa. — Facebook
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Kedah, Alor Setar, Kedah pada Rabu yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rahim Mat.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, beberapa kriteria akan dinilai melalui keputusan ujian diagnostik itu termasuk pencapaian tahap minimum yang ditetapkan dalam aspek psikoemosi dan kemahiran asas.
“Kita akan memaklumkan tarikh, lokasi dan kaedah pelaksanaan ujian ini. Ujian tersebut perlu dilalui oleh kanak-kanak yang ingin memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun bagi memastikan dasar ini tidak dilihat sebagai tergesa-gesa.
“Ibu bapa yang memilih laluan ini juga perlu memberi komitmen dengan memastikan anak mereka menduduki ujian berkenaan. KPM akan membantu dan memberikan pedoman,” katanya.
Tambah beliau, ibu bapa yang tidak bersetuju masih boleh mengikut kaedah sedia ada dengan membenarkan anak memasuki Tahun Satu pada usia tujuh tahun, selaras dengan penegasan bahawa dasar itu tidak diwajibkan dan perlu disokong oleh penilaian diagnostik. — The Star/ANNABELLE LAWRENCE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
