MUSIM 2025/26 menyaksikan pelbagai liku buat pasukan Sabah FC, namun satu perkara kekal menjadi kekuatan utama skuad The Rhinos iaitu komitmen serta semangat juang para pemain.
Tonggak tengah Sang Badak, Stuart Wilkin menzahirkan keyakinan terhadap kesatuan pasukan menjelang perlawanan pertama Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.
Wilkin, 27, yang menjadi tonggak penting di bahagian tengah sejak menyertai Sabah pada 2022 berharap semangat berpasukan yang kukuh dapat terus dipertahankan sehingga akhir musim.
BACA LAGI: Komitmen pemain layak ke final Piala FA bayangi kontroversi tunggakan gaji kem Sabah FC

Skuad Sang Badak bakal menerima kunjungan The City Boys di Stadium Likas pada Jumaat. — Facebook/sabahfc
Menurutnya, walaupun pasukan berdepan banyak perubahan termasuk pertukaran jurulatih, kakitangan dan pemain, semangat dalam pasukan tidak pernah luntur.
“Musim ini penuh dengan perubahan, namun apa yang kekal ialah semangat dalam pasukan.
"Dalam keadaan sukar sekalipun, kami tetap bersatu dan berjuang bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan,” katanya.
Wilkin turut menyifatkan kejayaan mara ke final Piala FA sebagai satu pencapaian besar walaupun prestasi liga tidak konsisten.
“Berjaya mara ke final Piala adalah sesuatu yang membanggakan. Saya berharap kami dapat menampilkan persembahan dan keputusan yang lebih konsisten hingga ke penghujung musim.
“Secara peribadi, saya mahu terus memberi impak kepada pasukan melalui prestasi yang baik, selain menyumbang gol dan bantuan gol,” katanya.

Wilkin optimis Sabah FC mampu meraih tiga mata berharga di laman sendiri. — Facebook/sabahfc
Sabah, yang mara ke final Piala FA musim lalu kini memburu kemenangan keempat dalam saingan liga musim ini.
Pasukan yang berpangkalan di Borneo itu melalui tempoh sukar apabila gagal mencatat kemenangan dari 13 Ogos hingga 1 November, sebelum menamatkan kemarau tersebut dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Penang FC pada 23 November.
Sang Badak kemudian mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas PDRM FC pada 6 Disember, namun tewas 1-3 kepada Brunei DPMM FC pada 20 Disember.
Sabah bagaimanapun bangkit tiga hari kemudian dengan kemenangan meyakinkan 3-1 ke atas Terengganu FC.
Di bawah kendalian ketua jurulatih sementara, Alto Linus, Sabah kini berada di kedudukan kelapan Liga Super dengan mengumpul 13 mata daripada 12 perlawanan.
Mengulas persiapan pasukan, Wilkin berkata, latihan yang dijalani selepas cuti perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu memberi impak positif kepada skuad.
“Persiapan berjalan lancar dan tempoh latihan yang baik banyak membantu kami.
"Kuala Lumpur berada dalam prestasi cemerlang musim ini serta melakukan beberapa penambahan berkualiti, namun kami berharap dapat memberikan tentangan dan persembahan terbaik,” katanya. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
