Prestasi terbantut akibat peluang terhad di Lembah Klang, striker Harimau Muda berhijrah ke Terengganu?


  • Podium
  • Khamis, 08 Jan 2026

Skuad Sang Penyu dikhabarkan bakal diperkuatkan dengan kehadiran penyerang Harimau Muda dalam masa terdekat bagi mempertajamkan jentera serangan TFC. — Facebook/TFC

PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Haqimi Azim Rosli dilaporkan berpotensi menyertai kelab Pantai Timur, Terengganu FC secara pinjaman dalam masa terdekat.

Perkara itu didedahkan oleh pemerhati sukan tempatan, T. Avineshwaran menerusi hantaran di laman X pada Khamis.

“Difahamkan Haqimi Azim Rosli berkemungkinan berpindah ke Terengganu FC secara pinjaman daripada Kuala Lumpur City FC,” katanya.

BACA LAGI: Kapsyen Jalur Gemilang petanda Bergson bakal debut bersama Harimau Malaya?

BACA LAGI: Komitmen pemain layak ke final Piala FA bayangi kontroversi tunggakan gaji kem Sabah FC

Haqimi dilaporkan semakin hampir untuk menyarung jersi skuad Sang Penyu. — Facebook/KLCityfc

Perpindahan secara pinjaman itu dipercayai berpunca daripada kekurangan peluang beraksi yang dihadapi penyerang muda Harimau Muda berkenaan bersama skuad Warga Kota.

Walaupun beraksi di posisi serangan, Haqimi dilihat kurang mendapat kepercayaan apabila hanya merekodkan lima penampilan bersama The City Boys pada pusingan pertama saingan Liga Super, menurut rekod Transfermarkt.

Malah, pemain berusia 23 tahun itu lebih kerap memanaskan bangku simpanan dan masih belum mencatatkan sebarang jaringan, situasi yang berpotensi menjejaskan keyakinan serta prestasinya sebagai penyerang.

Sehubungan itu, perpindahan ke Terengganu FC dilihat sebagai langkah terbaik buat Haqimi bagi mendapatkan minit permainan yang lebih konsisten serta meneruskan perkembangan kariernya di peringkat tertinggi.

Haqimi merupakan antara watak penting skuad Harimau Muda yang meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand meskipun menerima perkhabaran duka apabila kehilangan bapa tirinya, Shahrul Azman Mohd Shahril yang meninggal dunia ketika temasya sedang berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram