[VIDEO] Lakar 'double hatrik', Munoz sifatkan Teto Martin penyerang tulen


  • Podium
  • Isnin, 19 Jan 2026

Setakat musim ini, Martin sudah mencatat 10 gol dalam 17 aksi bersama Harimau Selatan. — Facebook/JDT

BINTANG import Johor Darul Ta’zim (JDT), Teto Martin menikmati pengalaman baharu dalam peranan yang asing apabila diturunkan sebagai penyerang buat kali pertama, dengan percaturan berani itu terbukti membuahkan hasil yang lumayan.

Pemain tengah berusia 24 tahun itu mempamerkan aksi mengagumkan apabila meledak enam gol, sekali gus membantu JDT membelasah PDRM 10-1 dalam aksi pusingan 16 perlawanan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. 

Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz meluahkan rasa gembira dengan keputusan perlawanan selepas membuat keputusan berani meletakkan pemain Sepanyol itu di posisi serangan.

BACA LAGI: Kad merah, penalti tak dilayan pengadil buktikan karakter JDT tumpaskan Kuching City

BACA LAGI: Muncul watak penting JDT, kualiti padang lawan dugaan paling dahsyat bintang import Sepanyol

"Saya fikir Teto (Martin) ialah seorang penyerang tulen. Ini kali pertama dia bermain sebagai penyerang. 

"Perkara paling penting ialah pemain mendapat peluang dan memberikan yang terbaik apabila berada di atas padang," kata Munoz pada sidang media selepas perlawanan.

Martin tidak membuang masa untuk membuktikan keupayaannya apabila meledak gol pada minit ketiga dan ketujuh bagi menetapkan perlawanan memihak kepada Harimau Selatan. 

Bersambung babak kedua, JDT meningkatkan tempo permainan apabila Nazmi Faiz Mansor menjaringkan gol pada minit ke-48 sebelum Martin menambah dua lagi jaringan pada minit ke-50 dan ke-62. 

Pemain yang sebelum ini beraksi untuk kelab Sepanyol, CD Tenerife itu kemudian melengkapkan dua hatrik dengan gol pada minit ke-73 dan ke-94.

Gol-gol lain JDT disumbangkan oleh Marcos Guilherme (minit ke-66, ke-90) dan Manuel Hidalgo (minit ke-87), manakala Imran Samso menjaringkan gol saguhati tunggal buat pasukan Polis pada minit ke-60.

Walaupun membawa kelebihan besar menjelang perlawanan timbal balik pada 24 Januari, Munoz menegaskan bahawa sikap selesa tidak akan wujud dalam pasukan bimbingannya itu. 

"Kami hanya perlu meneruskan mentaliti kemenangan ini. Setiap perlawanan adalah penting.

“Saya tidak kecewa kami dibolosi satu gol, tetapi kami perlu memahami mengapa ia berlaku dan mencari penyelesaian," ujarnya. 

Sementara itu, malam tersebut turut menjadi kenangan manis buat Penang FC apabila pemain baharu, Douglas Coutinho menceriakan penampilan sulungnya dengan menjaringkan gol kemenangan untuk Harimau Kumbang. 

Gol pertama dari Coutinho itu memberi kemenangan 1-0 buat Penang FC ke atas Kuching City pada aksi pertama di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Pemain Brazil yang dipinjam daripada kelab Indonesia, Borneo Samarinda itu menanduk masuk sepakan percuma tepat dari Erick Brandon pada minit ke-39.

Harimau Kumbang hampir menggandakan kelebihan pada lewat permainan, namun jaringan pemain gantian, Dylan Wenzel-Halls dibatalkan kerana ofsaid selepas semakan VAR.

Aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Negeri, Kuching pada 24 Januari, dengan kemenangan tersebut melanjutkan rentak cemerlang Penang kepada empat kemenangan berturut-turut tanpa bolos pada tahun ini. — The Star/S. SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram