Luqman Hakim kredit Nidzam Jamil, rakan sepasukan lepas kembali temui sentuhan


  • Podium
  • Jumaat, 02 Jan 2026

Luqman Hakim sudah mencetak tiga gol dalam sembilan perlawanan Liga Super setakat ini. — Facebook/NSFC

KEMAJUAN yang ditampilkan penyerang Negeri Sembilan, Luqman Hakim Shamsudin pada musim ini bukanlah hasil lonjakan mendadak atau detik sensasi, sebaliknya dibina secara berperingkat berlandaskan kepercayaan, kesabaran dan sokongan rakan sepasukan.

Pemain berusia 23 tahun itu menegaskan peningkatan prestasinya hadir perlawanan demi perlawanan, hasil pembelajaran daripada kesilapan serta keyakinan yang diberikan barisan kejurulatihan, khususnya ketua jurulatih Nidzam Jamil.

"Setiap peningkatan datang daripada kepercayaan. Jurulatih memberi saya keyakinan untuk bermain dan rakan sepasukan pula sangat menyokong. Dengan setiap perlawanan, saya belajar daripada kesilapan dan menjadi lebih baik," katanya.

BACA LAGI: Dari Liga A1 ke skuad Jang, prospek warisan disebut-sebut ayam tambatan baharu NSFC

BACA LAGI: Jumpa apa dicari, Jovan Motika setia bersama NSFC biarpun dikejar Selangor

Menurut Luqman Hakim, kestabilan tersebut amat penting buat seorang pemain yang sebelum ini sering berada di bawah perhatian tinggi.

Memasuki pusingan kedua saingan Liga Super, dia kini dilihat semakin selesa bukan sahaja dengan peranannya, malah dengan apa yang diperlukan pasukan daripadanya.

Walaupun bergandingan dalam barisan serangan yang diperbaharui bersama pemain seperti Jovan Motika, Takumi Sasaki dan Joseph Esso, Luqman Hakim menegaskan dia tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan profesionalisme menjadi faktor utama kepada keserasian pantas.

"Mereka sangat profesional dan mudah untuk saling memahami. Namun, kami masih perlu meningkatkan prestasi. Sasaran kami adalah membantu pasukan menamatkan liga di kedudukan yang lebih baik," ujarnya.

Nidzam membawa NSFC ke satu tahap berbeza. — Facebook/NSFC

Setakat ini, Negeri Sembilan berada di tangga keenam Liga Super selepas mengutip 17 mata daripada 12 perlawanan.

Dalam pada itu, Luqman Hakim turut menekankan kepentingan mentaliti dalam usaha meningkatkan prestasi individu, terutama bagi pemain di posisi penyerang atau sayap yang memerlukan tahap tenaga tinggi.

"Semuanya bermula dengan mindset. Tuntutan fizikal itulah yang mendorong anda untuk menjadi pemain yang lebih baik," jelasnya.

Mengulas tahap persaingan Liga Malaysia, Luqman Hakim percaya tiada jurang besar jika dibandingkan dengan liga serantau lain termasuk Thailand, malah yakin liga domestik akan terus berkembang dari tahun ke tahun.

"Intensitinya hampir sama dan saya percaya Liga Malaysia akan terus bergerak ke hadapan," tambahnya.

Sasaki antara import terpenting NSFC musim ini. — Facebook/NSFC

Mengorak langkah ke hadapan, Luqman Hakim meletakkan sasaran jangka panjang ke arah 2026 dengan hasrat membantu Negeri Sembilan mencapai tahap lebih tinggi serta merealisasikan impian untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

"Secara peribadi, saya mahu terus memperbaiki diri dan, sudah tentu, mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan," katanya.

Buat Luqman Hakim, musim ini bukan sekadar untuk membuktikan kemampuan kepada pihak luar, sebaliknya menjadi proses membina keyakinan diri bahawa dengan persekitaran yang tepat, kemajuan pasti akan hadir. — The Star/T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram