Piala Thomas: Jangan bergantung kepada Zii Jia — Roslin Hashim


  • Podium
  • Isnin, 29 Dis 2025

Zii Jia berpotensi menjadi pemain perseorangan ketiga negara di Piala Thomas kelak.

 

 

SKUAD badminton Malaysia tidak seharusnya bergantung harap kepada pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia sekiranya mereka mahu memenangi Piala Thomas pada 2026.

Jurulatih skuad badminton Mesir, Roslin Hashim berkata, langkah itu adalah satu perkara yang berisiko kerana tahap kecergasan pemain itu masih berada di tahap meragukan.

Sambil tidak menafikan kemampuan Zii Jia apabila cergas, Roslin berkata lebih baik untuk kem negara fokus kepada pemain perseorangan sedia ada sementara masih ada masa sebelum kejohanan bermula pada April.

BACA LAGI: Akhirnya pecah badi jaringan, Wirtz masih rasa bahagia sejak debut bersama Liverpool

BACA LAGI: Mahu teruskan kecemerlangan, Herry Iman sasar pasangan Malaysia gegar 3 kejohanan utama

Zii Jia (duduk) masih bergelut untuk kembali cergas.

"Saya rasa ia langkah berisiko kerana jika kita lihat Zii Jia pada tahun ini, dia bermula dengan kecederaan buku lali, kembali bermain beberapa kejohanan selepas itu berehat lagi beberapa bulan dan itu berlaku lagi walaupun ia adalah kecederaan berbeza.

"Bagi saya, biarkan dia dapatkan rentaknya semula dahulu. Bila sudah bersedia baru panggil semula, daripada berikan pembayang yang dia akan diserap ke dalam skuad Piala Thomas," ujarnya.

Bekas pemain nombor 1 dunia itu turut berkata yang nama-nama seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh masih boleh menjadi sandaran namun persembahannya dalam acara berpasukan dianggap baik.

Jika barisan kejurulatihan boleh mendapatkan rentak untuk kedua-dua pemain itu, kebergantungan terhadap Zii Jia boleh dikurangkan.

"Leong Jun Hao tidak berada pada prestasi terbaiknya sekarang, tapi kita jangan lupa yang dia sebenarnya sangat kuat dalam acara berpasukan sebelum ini.

"Barisan kejurulatihan mesti naikkan semangatnya dan dia juga harus membaiki prestasinya kerana masih ada masa.

"Begitu juga dengan Justin, dia menunjukkan prestasi yang baik semasa di Sukan SEA dan saya harap dia boleh membawa momentum itu ke sehingga ke empat bulan mendatang.

"Jika mereka berdua beraksi dengan baik dan memberikan mata, kurang sikit kerisauan mengenai perseorangan ketiga, ditambah dengan dua beregu negara juga cukup kuat," jelas Roslin. — The Star/ADAM ZAMRI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram