PETARUNG muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar menghadiahkan pingat emas acara Muay Thai lelaki 57 kilogram (kg) kepada Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025 selepas menewaskan wakil tuan rumah, Suphakon Sirilun pada aksi final di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok pada Rabu.
Beraksi dalam penampilan sulung di temasya dwitahunan itu, Mikail atau lebih dikenali sebagai Miki mempamerkan ketenangan serta disiplin tinggi meskipun berdepan tekanan hebat daripada lawan yang mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah.
Pada pusingan pertama, atlet berusia 16 tahun itu mengawal perlawanan dengan kemas untuk mendahului 10-9.
BACA LAGI: Benjamin Mora kembali bekerja, dikhabar jadi pengendali kelab Indonesia
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Pandai kau buat lawak’, Jojo terhibur usikan Miki bab umur selepas mara ke final Sukan SEA
Suphakon bagaimanapun meningkatkan tempo dan mempamerkan aksi lebih agresif pada pusingan kedua, namun kebijaksanaan Miki membaca pergerakan lawan serta konsistensi serangan membolehkannya sekali lagi meraih kelebihan 10-9.
Pusingan ketiga menyaksikan kedua-dua petarung beraksi agresif, namun keputusan juri akhirnya memihak kepada Miki, sekali gus mengesahkan pingat emas menjadi milik kem negara.
Di sebalik kejayaan itu, tumpuan turut terarah kepada usikan abangnya, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook milik Johan Ghazali JoJo Fans, Jojo sempat mengusik adiknya ketika lagu Negaraku berkumandang semasa upacara penyampaian pingat.
Dalam video tersebut, Miki kelihatan terkumat-kamit seolah-olah terlupa lirik lagu kebangsaan, sekali gus mencuit hati Jojo yang jelas terhibur dengan gelagat adiknya itu ketika detik penuh bersejarah buat negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
