BEKAS pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora dilaporkan semakin hampir untuk menabur bakti bersama sebuah kelab di Indonesia.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi laman Instagram milik bocahbolaid yang melaporkan jurulatih kelahiran Mexico berkenaan kini dikaitkan dengan kelab Liga 1 Indonesia, Persebaya Surabaya.
Menurut laporan tersebut, Mora kembali menghangatkan kerusi jurulatih menjelang musim Liga Super 2025/26 selepas secara rasmi berstatus tanpa kelab, sekali gus menjadikannya antara calon utama untuk mengemudi Persebaya yang sedang mencari pengendali baharu.
BACA LAGI: [VIDEO] Hidalgo puas diberi peluang, de Marigny hairan tapi enggan kritik pengadil

Benjamin Mora dilaporkan bakal mengemudi kelab di Indonesia. — Agensi
Persebaya difahamkan mengambil keputusan berkenaan susulan kegagalan jurulatih terdahulu, Eduardo Perez memperbaiki prestasi pasukan dalam saingan Liga 1 Indonesia musim ini.
Di bawah kendaliannya, skuad Persebaya hanya mampu menghuni tangga kesembilan liga selepas mengumpul 18 mata daripada 13 perlawanan.
Situasi itu mendorong pihak pengurusan Persebaya menamatkan khidmat Perez, susulan keputusan seri 1-1 ketika menentang Arema FC pada November lalu.
Untuk rekod, Mora merupakan antara jurulatih yang paling lama berkhidmat dalam keluarga Harimau Selatan.
Beliau memulakan tugas sebagai ketua jurulatih JDT II pada 2015 sebelum dinaikkan pangkat sebagai pengendali pasukan utama pada 2017.
Namun, pada musim 2018, Mora kembali membimbing JDT II sebelum diberikan tanggungjawab sepenuhnya mengendalikan pasukan utama JDT pada 2020.
Sepanjang bergelar pengendali JDT, Mora membantu kelab itu meraih sembilan kejuaraan, termasuk mencipta sejarah apabila membawa Harimau Selatan mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Oleh itu, tidak mustahil Persebaya Surabaya berminat mendapatkan khidmat Mora, memandangkan kualiti dan reputasinya telah terbukti sepanjang penglibatannya bersama skuad Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
