Tekad buang Salah, Liverpool sanggup labur RM478 juta bawa masuk 'ubi muda' Ivory Coast 


  • Podium
  • Khamis, 11 Dis 2025

Salah dikhabarkan akan meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan Januari nanti. — Agensi 

KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dilaporkan dalam usaha untuk membawa masuk pemain muda Ivory Coast, Yan Diomande yang kini beraksi bersama RB Leipzig dalam saingan Bundesliga.

Pemain berusia 19 tahun tersebut turut menjadi buruan Arsenal dan Manchester City, namun laporan TEAMtalk menyebut bahawa Liverpool kini mendahului perlumbaan untuk mendapatkan khidmat penyerang berbakat tinggi itu.

Diomande, yang dianggap antara 'ubi muda' paling menyerlah dan berpotensi di Eropah ketika ini, dianggarkan bernilai sekitar €100 juta (RM478 juta).

BACA LAGI: Bergaduh dengan Slot, Salah mungkin senasib bakal pengurus Liverpool

BACA LAGI: Liverpool tetap perlukan Mo Salah — Steven Gerrard

Bakatnya yang besar serta keupayaan untuk berkembang di bawah bimbingan yang tepat menjadikan dia calon ideal untuk menjadi pengganti jangka panjang kepada Mohamed Salah.

Salah kini hangat dikaitkan dengan perpindahan keluar selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi bahawa hubungannya dengan pengurus Arne Slot telah rosak dan dia seolah-olah dipaksa meninggalkan kelab.

Pemain Mesir itu turut meluahkan keraguan terhadap masa depannya selepas saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), sekali gus petanda Liverpool perlu mula merancang masa depan tanpa bintang utama mereka itu. 

Diomande dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang berbaloi, selain berpotensi besar untuk dibentuk menjadi penyerang utama skuad The Reds selepas ini. 

Bagaimanapun, tanda harga RM478 juta dianggap sangat tinggi untuk pemain seusianya, dan belum dapat dipastikan sama ada Liverpool bersedia memenuhi permintaan RB Leipzig. 

Diomande kini beraksi bersama RB Leipzig dalam saingan Bundesliga. — Agensi

Jika mereka bersetuju, urusan perpindahan dijangka tidak menghadapi masalah besar kerana pemain tersebut dipercayai berminat mencuba peluang di England dan bersaing merebut trofi utama.

Dalam masa sama, Arsenal dilaporkan sedang mencari pemain sayap baharu susulan khabar angin mengenai masa depan Leandro Trossard. 

Diomande dianggap sebagai pilihan ideal, namun kos perpindahan yang tinggi dijangka menyukarkan The Gunners, terutama selepas perbelanjaan besar mereka dalam beberapa jendela perpindahan sebelum ini.

Manchester City pula dilaporkan mahu menambah seorang lagi pemain sayap berkualiti bagi memperkukuh skuad yang kini dibarisi Savinho dan Jeremy Doku. 

Skuad Man City dilihat memiliki kekuatan kewangan untuk bersaing, tetapi setakat ini belum ada tanda jelas kelab mana yang bakal menjadi destinasi akhir Diomande. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram