HAFIZH Syahrin Abdullah menghadiahkan detik manis buat Malaysia apabila lagu Negaraku berkumandang di Litar Antarabangsa Chang selepas pelumba JDT Racing Team itu menampilkan tunggangan cemerlang untuk menjuarai Perlumbaan 1 kelas elit ASB1000 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada Sabtu.
Kemenangan dramatik itu turut menyaksikan bekas pelumba MotoGP negara tersebut merampas kedudukan pendahulu keseluruhan daripada jaguh tuan rumah, Nakarin Atiraphuvapat.
Saingan kejuaraan terus sengit dengan pelumba Jepun, Keito Abe (SDG HARC-PRO Honda Philippines) dan pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi (Honda Racing Malaysia), masing-masing mengumpul 141 mata di kedudukan ketiga dan keempat.
BACA LAGI: Bukan hanya Jairo, 2 lagi bekas striker JDT tak kalis kritikan walau tajam depan gol
BACA LAGI: Man United tak cukup bagus, masa depan Amorim kembali kelam walau dijanji lebih masa
Hafizh (tengah) merampas kedudukan pendahulu keseluruhan kejuaraan daripada pencabar terdekat, Atiraphuvapat. — ARRC
Bermula dari petak kelima, Hafizh terpaksa bekerja keras untuk mengekori kelompok hadapan yang dibarisi Nakarin, pelumba Indonesia Andi Farid Izdihar (Astra Honda Racing), serta Keito Abe.
Namun aksi berani Hafizh melakukan pintasan pada pusingan terakhir menjadi penentu, sekali gus menjarakkannya daripada Andi dan Keito yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Kejayaan itu melonjakkan Hafizh ke puncak carta pelumba dengan 173 mata, mendahului Nakarin yang kini di tempat kedua dengan 165 mata.
Menjelang perlumbaan seterusnya pada Ahad, pelbagai pihak mengharapkan momentum kemenangan itu dapat diteruskan.
“Semoga Hafizh Syahrin terus fokus untuk perlumbaan seterusnya. Semoga kemenangan kekal milik JDT Racing Team,” kata Kazuto Akhiro.
“Alhamdulillah, syukur. P1 Race 1. Race 2 fokus, mental kuat, Insya-ALLAH,” ujar Wahi Nurkhairi Wahi Anuar.
“Semoga kemenangan milik JDT Racing Team untuk perlumbaan seterusnya,” tambah Ahmad Johan.
Sekiranya mahu meraih kejuaraan keseluruhan, Hafizh perlu sekurang-kurangnya berada di kedudukan kedua dalam perlumbaan pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

