SEORANG bekas atlet Sukan Olimpik Khas Antarabangsa, Thong Kong Weng, 46, kini memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan perubatan serta penjagaan jangka panjang berjumlah RM120,000 selepas terbabit dalam kemalangan serius pada September lalu.
Kong Weng yang pernah mengharumkan nama negara menerusi pingat emas acara bocce pada Sukan Olimpik Khas Antarabangsa 2003, kini terlantar di Hospital Taiping, Perak sejak kemalangan pada 14 September ketika memandu kereta membawa dua adik kembarnya untuk bercuti.
Kemalangan di lebuh raya berhampiran Taiping tersebut menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah termasuk kebocoran paru-paru, usus serta beberapa tulang patah.
BACA LAGI: Pendidikan bekalan sepanjang hayat, atlet memanah kebangsaan kini mahasiswi kejuruteraan UPM
BACA LAGI: [VIDEO] Atlet Muay Thai Malaysia, Puteri Rania selamat dirisik petinju Indonesia, Jaden Bahtera
Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keadaan Kong Weng amat membimbangkan kerana beliau kini bergantung penuh kepada mesin dan rawatan intensif hospital.
"Dulu beliau membanggakan rakyat Malaysia namun hari ini, akibat kemalangan, hidupnya bergantung pada bantuan mesin dan rawatan hospital. Beliau adalah wira negara yang tidak patut kita lupakan.
"Kong Weng telah menjalani enam pembedahan termasuk pembentukan stoma dan trakeostomi, dan masih dirawat di Hospital Taiping di bawah pemantauan ketat," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Menurutnya, keadaan fizikal yang lemah turut menyebabkan muncul luka tekanan, selain stoma dan trakeostomi yang memerlukan penjagaan rapi setiap hari.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau.
Tambah Sui Hau, selepas dibenarkan keluar hospital, bekas atlet tersebut memerlukan rawatan pemulihan berterusan serta penjagaan sepenuh masa di pusat penjagaan khas.
"Keluarganya tidak mampu menyediakan penjagaan intensif itu, menyebabkan beliau perlu ditempatkan di pusat pemulihan.
"Selepas penilaian menyeluruh, kita melancarkan kutipan RM120,000 bagi kos rawatan, penjagaan dan pusat pemulihan mangsa," jelasnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian bantuan 016-4192 192, 019-2322 192 atau 04-539 9212. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
