BINTANG muda Manchester United, Diego Leon dijangka beraksi di Ligue 1 apabila kelab itu merancang meminjamkan pemain berusia 18 tahun tersebut ke OGC Nice bagi baki musim bermula Januari ini.
Walaupun hanya beraksi dengan minit permainan terhad bersama skuad Bawah 21 tahun (B-21) United musim ini, Leon tetap mempamerkan kualiti mengagumkan, termasuk menjaringkan satu gol.
Menurut wartawan Amerika Selatan, Cesar Luis Merlo, United kini merancang menggunakan rangkaian kelab di bawah pemilikan Ineos untuk memastikan perkembangan Leon dapat dipantau dengan lebih sistematik.
BACA LAGI: Puas hati lihat impak Cunha, Wolves sekali lagi jadi ‘lubuk’ Man United
BACA LAGI: Pasang cita-cita lepasi peringkat kumpulan, Bangkok United waspada kualiti Selangor FC
Nice yang turut dimiliki Ineos menjadi destinasi utama buat pemain di posisi bek kiri berkenaan mengembangkan bakatnya sebelum bersedia bermain untuk skuad utama The Red Devils.
Langkah berkenaan dianggap ideal kerana Man United dapat memastikan Leon berada dalam persekitaran kompetitif, sekali gus memantau rapat tahap kemajuan pemain dari Paraguay itu.
Perpindahan ke Nice juga memberi prospek menarik memandangkan Ligue 1 adalah liga utama Eropah yang kaya dengan bakat muda, selain membuka peluang Leon meraih minit permainan pada tahap lebih tinggi.

Leon juga diberi kepercayaan sebagai ketua pasukan B-21 Man United. — Agensi
Leon yang sudah pun bergelar pemain senior skuad kebangsaan Paraguay dijangka bukan pilihan utama ketua jurulatih Franck Haise kerana posisi bek sayap kiri ketika ini disandang ketua pasukan, Melvin Bard.
Namun, Leon berkemungkinan menjadi pemain kedua penting, sekali gus tetap mendapat peluang bermain secara konsisten.
Lebih menarik, Nice menggunakan sistem 3-4-3, hampir sama seperti diaplikasikan United, ia menunjukkan keseragaman taktikal yang dipercayai mahu diterapkan oleh Ineos bagi memudahkan pertukaran pemain antara kelab dalam rangkaian mereka.
Sekiranya perpindahan ini dimuktamadkan, Leon bukan sahaja berpeluang meningkatkan kualiti permainan, malah dapat memperkukuhkan kedudukannya sebagai prospek masa depan Manchester United. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
