MENJELANG Temasya Sukan SEA di Songkhla, Thailand, seramai 25 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain bermula Selasa (25 November) hingga 4 Disember ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa skuad Harimau Muda akan berlepas ke Thailand pada 5 Disember sebagai persiapan menghadapi kejohanan yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 18 Disember 2025.
Senarai pemain kali ini menarik perhatian apabila Nafuzi menyenaraikan dua pemain yang baru sahaja beraksi bersama skuad senior dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 18 November lalu iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili dan Alif Izwan Yuslan.
BACA LAGI: 'Tengok nama dah tahu tak ke final', penyokong HM sudah ramal nasib skuad Nafuzi Zain

Skuad Harimau Muda sebelum ini gagal mara ke Piala Asia B-23 Tahun. — Facebook/Malaysia NT
Pasukan turut diperkuatkan dengan kehadiran dua penyerang muda berbakat, Fergus Tierney dan Haqimi Azim yang dijangka menambah bisa pada jentera serangan negara.
Namun begitu, walaupun skuad kali ini dilihat memiliki potensi besar, muncul suara-suara skeptikal dalam kalangan penyokong yang meramalkan cabaran sukar buat skuad bimbingan Nafuzi berdasarkan prestasi kurang memberangsangkan pada kejohanan terdahulu.
Begitupun, masih ada yang optimis bahawa kehadiran beberapa pemain berpengaruh mampu memperbaiki prestasi pasukan, namun pada masa sama terdapat persoalan apabila tiga pemain yang mempamerkan prestasi cemerlang di liga domestik tidak tersenarai oleh Nafuzi.
Ketiadaan tiga ‘permata’ tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air menjelang pertemuan getir di Sukan SEA nanti.
1. Daniel Hakimi
Pemain tengah Perak FA, Daniel Hakimi Ahmad Azmil menjadi antara nama yang tidak tersenarai untuk menggalas cabaran negara pada Temasya Sukan SEA edisi kali ini.
Walaupun mempamerkan aksi konsisten dalam saingan Liga A1 Semi Pro, prestasi tersebut masih belum cukup untuk menarik perhatian ketua jurulatih skuad B-23, Nafuzi Zain.
Daniel kini mencuri tumpuan setelah menjaringkan tiga gol bersama Perak FA musim ini dan dilabel sebagai antara ‘permata baharu’ dalam bola sepak Seladang.

Daniel Hakimi meledak tiga gol buat Perak FA dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Bagi peminat setia bola sepak Perak, nama Daniel bukanlah asing kerana pemain berusia 20 tahun itu mula menyerlah selepas diberikan kepercayaan beraksi dalam Liga Super 2024/2025.
Berbekalkan aksi konsisten itu, Daniel kemudian diserap sepenuhnya ke Perak FA dan kini menjadi antara tonggak utama skuad Seladang dalam Liga A1 Semi Pro.
Namun, buat masa ini, tiket ke Sukan SEA masih belum menjadi rezekinya.
2. Akid Zamri
Pemain sayap Penang FC, Akid Zamri turut tidak tersenarai dalam skuad B-23 negara bagi menghadapi Sukan SEA edisi kali ini.
Walaupun masih muda, Akid telah membuktikan dirinya sebagai ancaman utama di hadapan pintu gol dengan ketajaman penyudah yang menjadikannya antara penyerang sayap paling berbahaya dalam skuad Harimau Kumbang.
Pemain berusia 20 tahun itu sering sukar dikawal khususnya dalam situasi serangan balas atau ketika menerima bola di kawasan berbahaya.

Meskipun masih muda namun Akid Zamri mampu mencipta kejutan di depan pintu gawang namun namanya belum mampu mencuri hati Nafuzi. — Facebook/Penangfc
Selain kepantasan yang mengujakan, Akid turut bijak mencipta peluang serta melakukan larian mengelirukan yang mampu memecahkan benteng pertahanan lawan.
Namun begitu, meskipun memiliki semangat tinggi dan potensi besar, ketiadaannya dalam senarai panggilan ke kem latihan pusat kali ini tetap menjadi kejutan.
3. Saiful Jamaluddin
Pemain tengah muda Terengganu FC (TFC), Saiful Jamaludin turut tidak tersenarai dalam skuad B-23 negara bagi menghadapi saingan Sukan SEA kali ini.
Saiful yang merupakan rekrut kedua dari Sri Pahang FC selepas Baqiuddin Shamsudin dibawa masuk ke TFC bagi memperkukuhkan skuad Sang Penyu untuk kempen 2025/2026.

Saiful Jamaluddin antara tonggak utama Sang Penyu. — Facebook/TFC
Sejak menyertai pasukan, pemain berusia 23 tahun itu telah membuat lapan penampilan membantu memperkukuh benteng pertahanan TFC.
Daripada lapan aksi tersebut, Saiful turut memainkan peranan dalam empat kemenangan yang diraih Sang Penyu.
Dikenali sebagai pemain tengah bertahan yang bertenaga dan berdisiplin tinggi, Saiful terus menunjukkan perkembangan positif bersama TFC, namun masih belum berjaya menempatkan dirinya dalam senarai akhir ke Sukan SEA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
