Salah terima pingat Terbuka Australia, Chen Tang Jie sempat ‘mengusik’ jaguh India


  • Podium
  • Isnin, 24 Nov 2025

Tang Jie-Ee Wei merekodkan kemenangan 21-16, 21-11 dalam tempoh 42 minit di Sydney Olympic Park. — Facebook/BAM

AKSI cemerlang Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Terbuka Australia 2025 disusuli insiden lucu apabila Tang Jie berkongsi gurauan bersama jaguh India, Lakshya Sen selepas berlaku kekeliruan ketika menerima pingat kemenangan.

Menerusi kiriman di InstaStory, pemain beregu campuran nombor satu negara itu seolah-olah memberi bayangan bahawa pingatnya mungkin tertukar dengan juara perseorangan lelaki kejohanan tersebut.

"Adakah pingat kejuaraan beregu campuran saya ada bersama anda?," seloroh Tang Jie sambil memetik nama Lakshya pada Ahad. 

BACA LAGI: Jika terlalu serius cedera, Zii Jia perlu pertimbang bersara — Legenda badminton negara

BACA LAGI: Legenda badminton nasihat BAM, hantar skuad terbaik ke Sukan SEA

Di sebalik detik mencuit hati itu, Tang Jie dan pasangannya, Ee Wei menamatkan kemarau gelaran mereka musim ini apabila meraih kejuaraan pertama dalam siri jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2025. 

Tang Jie-Ee Wei mempamerkan aksi penuh dominasi apabila mudah menewaskan pasangan Indonesia ranking nombor 11 dunia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dengan kemenangan 21-16, 21-11 dalam tempoh 42 minit di Sydney Olympic Park.

Kejayaan tersebut merupakan gelaran Jelajah Dunia pertama mereka tahun ini dan hadir tepat pada masanya sebagai tonik keyakinan menjelang Sukan SEA di Thailand dari 9 hingga 20 Disember.

Tangkap layar Insta Story Lakshya.

Gandingan ranking keempat dunia itu membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM468,790 dan kembali mengukuhkan reputasi sebagai antara pasangan beregu campuran paling dominan ketika ini.

Sebelum ini, Tang Jie-Ee Wei turut mencipta detik bersejarah apabila muncul juara Kejuaraan Dunia BWF pada Ogos lalu, sekali gus melayakkan mereka ke saingan Jelajah Akhir BWF bulan depan.

Sementara itu, Lakshya yang dinobatkan juara perseorangan lelaki Terbuka Australia tersebut berjaya menewaskan wakil Jepun, Yushi Tanaka dengan keputusan 21-15, 21-11 untuk merangkul gelaran pertamanya tahun ini. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram