JUARA Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) (MPL) Malaysia Musim ke-14 Selangor Red Giants (SRG) tidak mahu memandang mudah kepada pasukan wakil Turki S2G Esports pada perlawanan pembukaan Kejohanan Dunia MLBB M6 yang akan berlangsung 21 November hingga 15 Disember ini.
Pengasas bersama SRG, Simon Lim berkata, anak buah kendaliannya perlu berhati-hati kerana masih belum mengetahui corak permainan pemenang Liga Turki itu dalam usaha meloloskan diri ke pusingan seterusnya pada kejohanan e-sukan terbesar dunia yang akan berlangsung di tanah air itu.
BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu
BACA LAGI: KBS letak harapan tinggi buat 2 wakil Malaysia, pastikan M6 berjalan lancar
“Saya fikir ini adalah undian yang baik, nasib baik kita tidak bertemu negara gergasi seperti Indonesia dan Filipina. Kita akan bertemu S2G Esports, memang kita tiada maklumat mengenai mereka dan akan menjadi cabaran untuk buat persiapan.
“Tapi kita optimis, saya baharu sahaja hubungi ahli pasukan, mereka telah bersedia, mereka tampak yakin,” katanya kepada Majoriti pada Majlis M6 Unveiling Swiss Stage di Spacerubix, Puchong, Selangor yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim pada Jumaat.
Sebagai rekod, S2G mengejutkan pasukan pilihan Fire Flux Esports dalam pusingan playoff Liga Turki dengan kemenangan 4-2 di peringkat final.
Terdahulu pada majlis undian itu, satu lagi wakil negara Team Vamos akan memulakan kempen kejohanan itu bertemu Twisted Minds dari Arab Saudi.
Adam (tengah) ketika ditemui media selepas majlis undian M6.
Sementara itu, Adam Adli turut optimis skuad negara mampu mempersembahkan prestasi terbaik pada kejohanan berprestij itu.
“Kalau tengok, rakan serantau juga teruja untuk bertemu Malaysia kerana kita boleh nampak perkembangan yang baik dari segi prestasi mereka dan ini menjadikan kita ada keyakinan kepada pasukan Varmos dan SRG,” katanya.
Kejohanan Dunia M6 akan bermula dari 21 November dengan pusingan wildcard yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI, Putrajaya apabila lapan pasukan akan bersaing merebut satu tempat ke Peringkat Swiss.
Peringkat Swiss akan berlangsung dari 28 November hingga 5 Disember di lokasi yang sama dengan 16 pasukan akan disaring menjadi lapan untuk ke Pusingan Playoff.
Separuh akhir dan final (14-15 Disember) akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram