Pening hilang pertahanan penting, TFC nilai pemain lain ganti Safwan Mazlan


  • Podium
  • Rabu, 19 Nov 2025

TFC perlu mencari pengganti Safwan Mazlan untuk berdepan NSFC.

BARISAN pertahanan Terengganu FC (TFC) dilihat mengalami masalah selepas mereka kehilangan Safwan Mazlan akibat kecederaan.

Disebabkan kecederaan buku lali, Safwan terpaksa disisihkan sekurang-kurangnya untuk dua minggu lagi dan akan terlepas perlawanan bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 22 November.

Oleh disebabkan itu, pengendali TFC, Badrul Afzan Razali mengatakan yang dia perlu melihat kepada beberapa nama sebagai pengganti bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Safwan.

BACA LAGI: Hanya kerana mahukan Semenyo, wajarkah Arsenal korbankan Lewis-Skelly?

BACA LAGI: Cedok gambar kemudian jana AI 'Ghibli style', video muzik penerbitan stesen TV dikritik

Safwan mengalami kecederaan buku lali.

"Tekanan setiap perlawanan itu sentiasa ada untuk kami, tidak kira lawan apa pun tambahan pula sekarang saya dah hilang Yann Mabella dan terbaharu, Safwan.

"Saya dah tengok beberapa pemain yang akan ganti tempat dia (Safwan), tapi tak boleh buat keputusan sekarang, tengoklah dalam beberapa hari ini," kata Safwan menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pada masa sama, Badrul mengakui yang NSFC mempunyai ancaman mereka yang tersendiri terutamanya di bahagian tengah dan serangan.

Dia mengakui yang perlawanan tersebut amat penting dan tekanan tinggi dihadapi oleh TFC untuk mencatatkan keputusan baik di tempat lawan.

"Untuk Negeri Sembilan, saya tahu beberapa pemain mereka yang cukup bahaya seperti Alex Agyarkwa dan juga Jovan Motika, jadi sudah tentu kita kena bersedia dengan perancangan lebih baik.

"Saya mengambil pendekatan positif dengan apa yang akan berlaku dan sebab itu aksi dengan Negeri Sembilan ini amat mustahak bagi saya.

"Apa pun, kita fokus dahulu untuk aksi ini selain berharap keputusan yang lebih positif dapat diraih untuk bagi motivasi tambahan kepada pasukan," komen Badrul.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan yang nasib Badrul sebagai pengendali TFC akan ditentukan selepas perlawanan bertemu NSFC.

Namun begitu, ia dinafikan oleh pengurusan tertinggi kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram