LEGENDA bola sepak Sarawak, Jalil Ramli tidak menolak sebarang kemungkinan yang Kuching City FC dapat menghasilkan kejutan mara ke perlawanan akhir Piala FA.
Walaupun tumpas 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada separuh akhir pertama, 9 November lalu, Jalil berasakan Kuching masih mampu memberikan saingan serupa kepada Harimau Selatan pada timbal balik, 30 November kelak.
Bagi pemenang Piala FA bersama skuad Bujang Senang pada 1992, walaupun Kuching masih di belakang JDT dari segi kualiti namun mereka menunjukkan keberanian untuk bersaing.
BACA LAGI: Aksi atas padang Selangor FC sepatutnya selari dengan pujian ‘next level’ fans Persib Bandung
BACA LAGI: Man United sedia bagi Amorim RM590 juta, pintas Liverpool rebut 'winger' terhangat EPL

Jalil Ramli.
"Saya rasa setakat ni bukan sahaja dalam Piala FA, tapi dalam liga pun Kuching City pamerkan permainan yang baik. Kedudukan pun baik, dalam Top 3. Ini perkembangan positif untuk bola sepak di Sarawak.
"Jika lihat daripada corak permainan, banyak peningkatan ditunjukkan. Pada perlawanan pertama, Kuching City boleh menyaingi posisi dan rentak JDT. Cuma kalau dari segi pengalaman, memang berpihak kepada JDT," kata Jalil memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Bagi Jalil, Kuching tidak mempunyai tekanan menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kerana semua itu di bahu JDT yang sedang mendahului secara agregat.
Tambahan pula Harimau Selatan merupakan juara bertahan, The Cats boleh cuba mengambil kesempatan di atas tekanan yang dihadapi JDT.
"Walaupun ramai kata susah untuk Kuching buat kejutan, tapi saya rasa mereka masih ada peluang.
"Kuching tak ada apa untuk dirugikan, semua tekanan terletak pada JDT. Mereka perlu menang, sedangkan Kuching boleh main bebas dan cuba ambil peluang," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
