Suasana riuh di Stadium Negeri punca Kuching tak kenal erti mengalah hadapi JDT — Aidil Sharin


  • Podium
  • Rabu, 12 Nov 2025

Anak buah Aidil Sharin mempamerkan semangat juang tinggi walaupun berdepan kelab paling dominan di Malaysia. — Facebook/KuchingCity

PENGENDALI Kuching City, Aidil Sharin Sahak mempunyai sebab untuk berasa bangga dengan pasukannya selepas The Cats memberikan tentangan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum tewas 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA pada Ahad.

Namun, jurulatih kelahiran Singapura itu pantas menekankan faktor yang mendorong skuad The Cats beraksi dengan begitu berani dan tanpa gentar menentang gergasi bola sepak negara itu.

Menurut Aidil Sharin, semangat penyokong yang tidak pernah luntur serta hubungan erat antara pasukan dan peminat pasukan berkenaan menjadi kekuatan utama mereka.

BACA LAGI: Xisco Munoz akui pemain JDT keletihan, lega bawa bekalan satu gol ke SSI

BACA LAGI: Hilang 3 tonggak akibat ‘gentlemen agreement’, Kuching City sasar elak bolos awal jumpa JDT

Beliau tersentuh dengan sorakan dan tenaga luar biasa penyokong di stadium, yang disifatkannya antara suasana paling menggalakkan sejak mengambil alih pasukan dua musim lalu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong, bukan sahaja untuk perlawanan menentang JDT tetapi sejak hari pertama saya datang ke sini. 

"Sokongan semakin meningkat dan itu yang kami mahu. Harapnya ia akan terus berterusan pada setiap perlawanan.

"Sarawak sentiasa mempunyai penyokong yang hebat dan positif. Saya menyeru mereka untuk terus hadir dan berkembang bersama pasukan. Kami adalah satu keluarga. 

"Seronok melihat ibu bapa membawa anak-anak mereka, menjadikan hari perlawanan sebagai hari keluarga di stadium. Inilah budaya bola sepak yang kita mahu pupuk, sesuatu yang boleh dibanggakan oleh semua," kata Aidil Sharin. 

Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak. — Facebook/KuchingCity

Aidil Sharin turut mendedahkan bahawa penyokong pelawat JDT sendiri memuji suasana yang dicipta oleh penyokong tuan rumah, sesuatu yang sangat bermakna buatnya.

"Apabila saya naik ke pentas, penyokong JDT turut memuji penyokong kami. Itu satu petanda baik untuk Kuching City dan juga Sarawak, ia menunjukkan kita bersikap sporting dan mengekalkan hubungan baik, sama ada menang atau kalah. 

"Kita pernah lihat insiden pergaduhan antara penyokong di tempat lain, dan itu amat memalukan, terutama apabila ada kanak-kanak yang menyaksikan.

"Kita mahu memupuk keharmonian melalui bola sepak serta membentuk mentaliti positif dalam kalangan semua pihak. Itu sama pentingnya dengan apa yang berlaku di atas padang," jelasnya. 

Di atas padang, anak buah Aidil Sharin mempamerkan semangat juang tinggi walaupun berdepan kelab paling dominan di Malaysia.

Kuching City mencipta beberapa peluang dan hampir menjaringkan gol apabila percubaan terkena tiang, namun Aidil Sharin memilih untuk melihat aspek positif daripada persembahan tersebut.

"Kami tahu ia bukan perlawanan mudah, tetapi pemain memberikan segalanya. Walaupun ketinggalan 2-0, mereka terus berjuang dan mencipta banyak peluang. Suasana di stadium turut menjadi pembakar semangat mereka. 

"Kami masih pasukan yang sedang membangun, ini baru tahun kedua saya melatih mereka, tetapi saya bangga dengan sejauh mana kami telah pergi. Jurang dengan pasukan besar seperti JDT semakin mengecil," kata jurulatih berusia 48 tahun itu.

Penyokong The Cats setia menyokong Kuching City. — Facebook/KuchingCity

Aidil Sharin mengakui masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki, khususnya di bahagian pertahanan dan penyudah, menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 29 November.

"Kami bolos dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan, tetapi saya menghormati keputusan pengadil. Yang penting, kekal positif dan terus memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan seterusnya.

"Sepanjang tempoh rehat FIFA ini, kami akan mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki, mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, dan membuat persediaan rapi untuk aksi Liga Super menentang Brunei pada 22 November sebelum berkunjung ke Johor," jelasnya.  — The Star/T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram