PERTEMBUNGAN separuh akhir pertama Piala FA 2025/26 antara Selangor FC dan Sabah FC di Stadium Likas, Sabah pada Ahad lalu menyajikan sebuah aksi cukup mendebarkan.
Ini kerana perlawanan itu berakhir dengan keputusan 2-2 dengan kedua-dua gol tuan rumah dijaringkan Ajdin Mujagic sementara jaringan pasukan pelawat disumbangkan Nooa Laine dan gol sendiri Dane Ingham.
Keputusan tersebut sekali gus membuka pintu luas buat Sabah FC dan Selangor FC untuk menempa tiket ke perlawanan akhir jika salah sebuah dari mereka mempamerkan aksi terbaik pada pertembungan timbal balik.
BACA LAGI: Bukan masalah besar, Nooa Laine mudah sesuaikan diri sistem Cklamovski
BACA LAGI: Nooa Laine dedah faktor pilih Selangor, akui bangga sarung jersi Harimau Malaya

Aksi timbal balik di Stadium MBPJ akan menentukan pasukan manakah bakal melangkah ke pentas akhir PIala FA musim ini.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada 30 November itu sudah tentu memberikan debaran kerana masing-masing pasti bersemangat untuk meneruskan kemaraan.
Bagi Nooa Laine yang merupakan tonggak Gergasi Merah, dia berpandangan pasukannya mempunyai keazaman untuk ke pentas akhir Piala FA, namun tidak mahu memandang ringan cabaran pihak lawan.
"Saya kecewa kerana kita sepatutnya menang aksi pertama. Tetapi, masih terdapat pertembungan timbal balik dan saya yakin kita boleh mara.
"Ia akan menjadi sebuah perlawanan yang sukar, tetapi pasukan lain sering bergelut ketika bertandang ke gelanggang kami. Kami merupakan pasukan yang baik di laman sendiri, jadi kami yakin mampu ke perlawanan akhir sekali lagi," katanya.

Selangor FC pasti mahu menambah koleksi kejuaraan Piala FA.
Sekiranya berjaya memastikan kemenangan ke atas Sabah FC, Nooa pasti akan terus bersemangat untuk membantu pasukannya menambah koleksi kejuaraan.
Ini kerana sejak berada di Lembah Klang, pemain berdarah kacukan Malaysia-Finland itu sudah membawa mereka ke pentas akhir Piala FA dan Piala Cabaran musim lalu.
"Kami mengadakan perbincangan dalam bilik persalinan untuk mengekalkan penguasaan bola dan bersabar. Kami tidak mahu terlalu memaksa dan hanya menunggu masa untuk mencetak jaringan," katanya.
Jika berjaya melangkah ke pentas akhir, Selangor FC akan berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Kuching City FC yang juga masing-masing masih mempunyai peluang cerah untuk memastikan kemaraan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
