Muat naik emoji hati biru merah, Gabriel Peres tunjuk bukti kekal bersama Rhinos


  • Podium
  • Rabu, 12 Nov 2025

Jodoh Peres dengan Sabah FC sebelum ini dilaporkan bakal berakhir. — Instagram/gabrieelwotter

KEM Sabah FC kebelakangan ini dilanda khabar angin yang kurang menyeronokkan selepas bek pertahanan kental mereka iaitu Gabriel Peres dikatakan sudah berpisah dengan The Rhinos.

Desas-desus tersebut mula apabila kali terakhir dia beraksi adalah ketika kemenangan besar 6-0 ke atas Bunga Raya Damansara dalam saingan pusingan 16 Piala FA pada 17 Ogos 2025. 

Sejak perlawanan tersebut, pemain kelahiran Brazil berkenaan tidak lagi disenaraikan dalam mana-mana perlawanan untuk skuad kendalian Jean-Paul de Marigny.

BACA LAGI: Sabah semakin meruncing, 3 calon pengganti ideal Gabriel Peres

BACA LAGI: Gabriel Peres-Sabah FC berpisah, Sang Badak intai pengganti di benteng pertahanan

Khabar angin berkenaan bagaimanapun cepat ditepis Peres selepas pemain itu memuat naik foto bersama Sabah FC sambil memuat naik emoji hati berwarna biru merah yang seolah-olah melambangkan The Rhinos.

Walaupun tidak menulis sebarang kapsyen, hantaran ringkas daripada pertahanan Brazil berkenaan sekurang-kurangnya menenangkan hati penyokong yang resah dengan khabar angin tersebut.

Masakan tidak, Peres merupakan salah seorang tonggak penting Sabah FC sejak musim 2023 dengan pemain berketinggian 1.97 meter berkenaan sudah tampil dalam 58 perlawanan.

Tangkap layar Insta Story Peres.

Bukan hanya cemerlang dari segi defensif, Peres juga memberi sumbangan dalam bentuk jaringan apabila sudah meledak 12 gol dan enam bantuan jaringan untuk Sabah FC.

Sebelum menghilang daripada radar pasukan, Peres sempat meninggalkan impak besar apabila menjaringkan gol penyamaan penting ketika Sabah mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1 pada aksi pembukaan Liga Super musim ini di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 13 Ogos lalu.

Sekiranya Peres kekal bersama Sabah FC, pasukan Borneo itu tidak usah pening kepala untuk mengeluarkan kos mencari penggantinya di posisi pertahanan tengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram