‘Bukan saja fikir pasal final’, harungi minggu mencabar di Asia, Bergson enggan pandang mudah Kuching City


  • Podium
  • Sabtu, 08 Nov 2025

Bergson bersedia untuk bantu JDT tumbangkan Kuching City.

PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva, mengakui Harimau Selatan menjalani minggu penuh mencabar dalam perjalanan mereka berdepan Kuching City FC untuk separuh akhir Piala FA.

Sebelum berdepan The Cats pada Ahad, JDT terlebih dahulu berdepan cabaran kelab China, Shanghai Shenhua dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan mereka meraih kemenangan 3-1 pada Sabtu.

Beraksi di Stadium Negeri, Kuching untuk tugasan Piala FA, Bergson tidak mahu fokusnya teralih selepas JDT mengharungi minggu cukup padat.

BACA LAGI: Biar lambat asalkan selamat, Mamadou Diarra mungkin 'jawapan' terbaik Selangor

BACA LAGI: OKS terbuka kembali ke Malaysia, Sabah-TFC mungkin pilihan tepat tapi ada syaratnya

Fokus Bergson tertumpu untuk tumpaskan Kuching City.

"Kita telah hadapi minggu yang padat dan mencabar, dengan aksi ACLE dan selepas itu perlu fokus separuh akhir (Piala FA) pula.

"Jadi, kita tidak boleh tertekan dan kena cuba rehat sebaiknya untuk fikir tugas akan datang bagi mendapatkan keputusan lebih baik," ujarnya menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Bergson mengakui yang para pemain Kuching pastinya bersemangat untuk memberikan cabaran getir kepada JDT ditambah mereka beraksi di laman sendiri.

Walaupun begitu, Bergson tetap mahu memastikan JDT memperoleh bekalan selesa untuk dibawa pulang ke laman sendiri bagi aksi timbal balik.

Dia mendedahkan yang fokus JDT bukan saja tertumpu kepada perlawanan akhir, namun mereka meletakkan tumpuan satu demi satu bermula pada pusingan awal lagi.

"Tapi untuk kami di JDT, kita bukan sahaja fikir pasal final, tapi daripada awal lagi kita dah fokus sejak pusingan 16, suku akhir sampailah ke separuh akhir.

"Jadi, kita kena teruskan momentum ini apatah lagi JDT adalah juara bertahan dan perlu lakukan segalanya satu demi satu untuk lebih bersedia dalam setiap aksi," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram