Remaja bawah 15 tahun dilarang sertai sukan tinju, muay thai dan MMA — KBS


  • Podium
  • Jumaat, 07 Nov 2025

KBS melarang remaja bawah 15 tahun daripada menyertai sukan tempur.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah tegas bagi melindungi atlet muda dengan melarang penyertaan remaja bawah 15 tahun dalam mana-mana pertandingan sukan tempur full-contact.

Larangan itu merangkumi pertandingan sukan tempur seperti tinju, muay thai, kickboxing dan mixed martial arts (MMA) yang tidak menggunakan pelindung keselamatan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, larangan itu dibuat susulan peningkatan acara sukan tempur melibatkan pempengaruh dan selebriti yang walaupun semakin popular, berisiko tinggi terhadap keselamatan atlet terutamanya kanak-kanak.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tujuh pemain dicadang buat KRW, apa salahnya Kelantan TRW pantas sailang?'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Nanti jumpa saya', Arif Aiman pujuk penyokong cilik menangis ibarat patah hati gara-gara tak dapat sain jersi

“KBS tidak akan berkompromi dengan keselamatan dan integriti atlet, walaupun acara ini mendapat sambutan ramai dan mampu menjana impak ekonomi.

"Hanya kejohanan rasmi yang dianjurkan Persatuan Sukan Kebangsaan atau Persatuan Sukan Negeri berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dibenarkan menampilkan atlet bawah umur,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, KBS akan menggubal garis panduan khusus untuk sukan tempur serta mengarahkan Pesuruhjaya Sukan menilai semula mekanisme kawal selia supaya setiap acara ‘fight event’ dijalankan dengan lebih selamat dan profesional.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) juga akan menyelia pengumpulan data merentas disiplin sukan tempur, termasuk statistik kecederaan dan insiden kesihatan bagi membentuk dasar keselamatan yang lebih kukuh.

Hannah menegaskan langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan sukan tempur bukan sekadar hiburan, sebaliknya dikawal secara beretika dan berlandaskan undang-undang demi melindungi kebajikan atlet muda negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram