'Menarik...', CEO NSFC respons kes tuntutan pampasan Goulon cecah RM20 juta terhadap JDT


  • Podium
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Kali terakhir Goulan beraksi di saingan domestik ketika mewakili NSFC pada musim 2024. — Facebook/MFL

SELEPAS hampir dua tahun tidak mendengar khabar, nama bekas bek Negeri Sembilan FC (NSFC), Herold Goulon kembali disebut penyokong bola sepak tanah air rentetan hantaran kontroversi laman pemerhati sukan berpangkalan di Nigeria.

Menerusi ciapan akaun X, Lawyer Wey Like Sports mendakwa bahawa bek berpengalaman Liga Malaysia itu pernah mengikat kontrak dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2023.

Goulan difahamkan menerima tawaran kontrak dengan gaji bulanan sebanyak AS$15,000 (RM70,500), yuran tandatangan AS$15,000 (RM70,500), elaun rumah bulanan RM3,000, empat tiket penerbangan ekonomi serta sebuah kereta untuk kegunaan peribadi.

BACA LAGI: Ramai sesuai main di JDT terutama pemain Real Madrid, Barcelona — Munoz

BACA LAGI: Dipesan 'jangan menumpang', Selangor perlu sumbang mata lepas JDT lonjak Malaysia tangga ke-5 MA ranking

"Goulon mendakwa kelab (JDT) gagal menyediakan tiket penerbangan ke Malaysia, menyebabkan dia menanggung sendiri kos berkenaan.

"Setibanya di Malaysia, dia mendakwa tidak dibenarkan memasuki fasiliti kelab, dihalang menyertai latihan dan diberitahu secara lisan oleh pengurus kelab pada 20 Januari 2023 bahawa kontraknya tidak akan didaftarkan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), malah diminta mencari kelab baharu.

"Dia juga mendakwa bahawa permintaannya untuk kembali menyertai aktiviti kelab pada Januari 2023 telah ditolak, manakala pihak kelab gagal memberikan pengesahan bertulis mengenai penamatan kontrak meskipun dia telah memintanya," dakwa akaun itu.

Selepas mendakwa tidak mendapat tempat di JDT, Goulon dilaporkan menyertai NSFC pada 1 Februari 2023 dengan tawaran kontrak sehingga 17 Disember 2023 berserta gaji bulanan sebanyak AS$9,000 (RM42,300) serta elaun pengangkutan dan penginapan berjumlah RM2,500.

Dakwa akaun itu lagi, Goulon juga mengemukakan tuntutan terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan menuntut RM20 juta sebagai pampasan atas pelanggaran kontrak terhadap JDT.

Ia berdasarkan Klausa 9.4 dan Jadual C yang ditafsir sebagai klausa pelepasan (release clause) iaitu mekanisme pampasan prapenentuan sekiranya berlaku penamatan awal oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun, pemain yang kini tidak bermain dengan mana-mana kelab itu dilaporkan tidak boleh menerima pampasan kerana tidak mempunyai bukti kukuh untuk menyokong kes tersebut.

Dakwaan berat itu jelas menimbulkan persoalan mengenai kesahihan kes itu, namun semakan Majoriti menemui terdapat dokumen yang dikeluarkan pihak Tribunal FIFA bertarikh 23 Januari 2025.

Dalam dokumen 11 muka surat berkenaan mengandungi fakta kes mengenai tuntutan yang dikemukakan Goulon terhadap skuad Harimau Selatan, sekali gus menyokong hantaran ditulis akaun pemerhati sukan Nigeria itu.

Tangkap layar muka surat hadapan jawapan daripada Tribunal FIFA.

Semakan terhadap dokumen dikeluarkan FIFA itu turut mendapati JDT diarahkan membayar pampasan berjumlah AS$30,000 (RM141,000) bermula 31 Januari ditambah bunga 5 peratus setiap tahun dan RM3,000 untuk pampasan upah kerja kepada Goulon, namun tidak dipastikan sama ada perkara tersebut sudah diselesaikan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan besar pampasan itu sudah dibayar kerana salah satu perenggan dokumen itu menyebut JDT boleh dikenakan sekatan perpindahan jika gagal melunaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan.

Tangkap layar ciapan daripada Faliq.

Kes berkenaan bukan hanya menerima respons penyokong bola sepak tanah air, ia juga mencuri perhatian Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus apabila dia memberi respons 'menarik' di akaun X miliknya pada Jumaat.

Sehingga kini, masih belum ada sabarang kenyataan daripada pihak JDT mengenai isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram