GEJALA mat rempit dan geng motosikal membuat bising di kawasan perumahan kini bukan lagi perkara luar biasa, malah boleh berlaku di mana-mana.
Sikap segelintir individu yang pentingkan diri sendiri apabila menunggang motosikal dengan bunyi ekzos kuat hingga lewat malam bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah menjadikan jalan raya seperti litar lumba.
Lebih menjengkelkan, ada juga yang menjadikan kawasan perumahan sebagai ‘bengkel’ untuk membaiki atau mengubah suai motosikal, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat.
BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun pakai apron pecah masuk kedai runcit, guna tuala elak kesan cap jari di Shah Alam
BACA LAGI: [VIDEO] Kuda ‘terlepas’ punca 2 kemalangan berasingan di Merlimau, penunggang motor maut
Perkara itu dikongsikan pengguna Threads, @aliahhsn, yang meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir individu dipercayai geng motor di kawasan Damansara Damai, Selangor pada Ahad.
"Area Damansara Damai ini pun sama, makin menjadi. Bawah rumah dah macam bengkel motor 24 jam.
"Bunyi rem motor dari pukul 2 pagi sampai subuh, walaupun dah ditegur banyak kali dan aduan ke polis pun dah buat," tulisnya.
Katanya lagi, niatnya memuat naik gambar tersebut bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi sebagai peringatan kepada orang ramai agar lebih bertimbang rasa.
"Saya upload gambar ini bukan nak aibkan sesiapa (nombor plat pun dah tutup). Just a reminder, treat people the way you want to be treated.
"Kalau korang tak suka jiran sekeliling bising dekat korang, jangan buat bising dekat kawasan ini tengah-tengah malam,” tulisnya lagi.
Menurutnya, kawasan tersebut didiami oleh seorang penghuni tetap, namun sering dikunjungi rakan-rakan lain yang datang tidak tentu masa dan menimbulkan gangguan.
"Malam-malam orang nak tidur. Ayah saya pernah marah diorang banyak kali dan polis pernah datang tegur, tapi tak ada perubahan," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna lain turut berkongsi pengalaman sama dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap masalah yang berlarutan itu.
Seorang pengguna, @_.mochi262, turut memuat naik video sekumpulan penunggang motosikal yang membuat bising di hadapan rumahnya.
"Memang perangai tak senonoh. Malam-malam macam ini mengganggu orang tidur. Mat rempit ni tak faham ke orang lain nak rehat?" tulisnya.
Rata-rata warganet menggesa pihak berkuasa meningkatkan pemantauan di kawasan perumahan terlibat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terus mengganggu ketenteraman awam.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebrang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
