MENJADI seorang guru pada masa kini bukanlah tugas mudah. Golongan pendidik bukan sahaja berdepan dengan cabaran silibus dan tanggungjawab mendidik, malah turut perlu berhadapan dengan sikap segelintir pelajar yang semakin hilang rasa hormat terhadap guru.
Terbaharu, tular satu rakaman menunjukkan seorang pelajar perempuan membuat siaran langsung di aplikasi TikTok ketika guru sedang mengajar di dalam kelas, sekali gus mengundang kecaman hebat daripada warganet.
Rakaman tersebut dikongsikan oleh pengguna Threads, @miezaid, yang meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan tidak beradab pelajar berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun pakai apron pecah masuk kedai runcit, guna tuala elak kesan cap jari di Shah Alam
"Dalam kelas, cikgu tengah mengajar tetapi murid boleh buat live (siaran langsung)! Cikgu ibarat bercakap dengan tunggul. Lagi menyakitkan hati bila komen dan bahasa yang digunakan langsung tak ada adab.
"Ini ke generasi pewaris negara yang kita nak banggakan? Telefon bimbit dibawa ke sekolah, siap ‘live’ masa Pembelajaran dan Pemudacaraan (PdPC) ! Mohon Kementerian Pendidikan (KPM) ambil serius.
"Jangan sampai maruah institusi pendidikan tercalar sebab segelintir pelajar yang hilang hormat pada guru,” katanya.
Bagaimanapun, lokasi dan tarikh sebenar kejadian tidak dimaklumkan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Threads meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap perbuatan pelajar terbabit serta mendesak supaya tindakan tegas diambil oleh pihak sekolah.
Seorang pengguna, @zznaine, mengingatkan bahawa guru juga manusia yang boleh mengalami tekanan dan keletihan mental akibat perangai pelajar.
“Ibu bapa perlu ingat, para pendidik juga boleh ‘burn out’ tengok perangai anak-anak mereka di sekolah.
"Selalu bila anak buat perangai, alasan yang diberi kononnya 'mental health' anak terganggu tapi guru yang separuh gila sebab kerenah murid, terus dibiarkan saja," ujarnya.
Sementara itu, @daffodilskuning menegaskan supaya identiti pelajar berkenaan tidak disembunyikan sekiranya bukti sudah jelas menunjukkan kesalahan dilakukan di sekolah.
"Siapa yang bagi budak ni telefon? Mak bapak dia kan? Kalau ada bukti ‘live’ tu, emel saja kepada pengetua untuk tindakan lanjut. Tunjuk pada ibu bapa komen menjijikkan tu. Dah terlalu lama ibu bapa lepas tangan bab jaga anak," katanya.
Dalam pada itu, @lordzeros15 berpendapat isu seperti ini sepatutnya ditangani dengan melibatkan kerjasama antara guru dan ibu bapa.
"Saya rasa perlu inform dan libatkan ibu bapa. Terangkan secara baik, insya-ALLAH mereka pun boleh sama-sama bantu. Jangan bila ada isu, ibu bapa salahkan guru dan guru pula salahkan ibu bapa. Dua-dua pihak boleh berusaha bersama," katanya.
Insiden seperti itu jelas menunjukkan betapa besarnya cabaran yang dihadapi oleh para pendidik dalam era teknologi tanpa batas.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mapa pihak yang terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
