PENDUDUK di sekitar Kuching, Sarawak kini berdepan keadaan tidak selesa selepas kebakaran dua buah kilang memproses tayar terpakai dan plastik kitar semula di Batu 9, Jalan Indah Ria menyebabkan kawasan itu diselubungi asap tebal berbau getah terbakar sejak dua hari lalu.
Keadaan itu bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk, malah ada yang mengadu mengalami sesak nafas dan pening kepala akibat terhidu asap dipercayai mengandungi bahan toksik daripada kebakaran tersebut.
Perkongsian pengguna media sosial, Norman, di laman Threads miliknya, @runphotoguy, pada Jumaat tular apabila dia mendakwa kebakaran itu mengeluarkan asap beracun yang memberi kesan kepada penduduk berhampiran.
BACA LAGI: 'Cikgu ibarat bercakap dengan tunggul’, pelajar perempuan selamba buat 'live' ketika PdPC di sekolah
"Asap berbau getah yang kuat itu datang daripada kebakaran pada Rabu malam.
"Dari komen di Facebook, mereka bakar tayar tapi api tak terkawal hingga membakar keseluruhan longgokan.
"Dua hari dah terbakar dan keluarkan asap toksik… siapa ada asma atau kulit sensitif, tolong berjaga-jaga," tulisnya.
Norman turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tempatan terhadap kejadian seumpama itu yang difahamkan pernah berlaku sebelum ini.
"Saya tertanya-tanya apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa selepas kejadian pertama?" tulisnya sinis.
Pada masa sama, Norman turut memuat naik satu video memaparkan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di tempat kejadian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut meluahkan rasa bimbang terhadap kesan pencemaran udara yang berlaku.
Seorang pengguna Threads, @k.im6336, berkata bau getah terbakar itu begitu kuat sehingga disangkanya berpunca daripada pendawaian rumah yang terbakar.
"Rumah saya dalam jarak lima batu dari situ pun masih boleh bau. Kuat sangat sampai pening kepala," katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial, @timothybertealfred, turut mendakwa bau asap masih belum hilang walaupun kebakaran sudah dua hari berlaku.
"Sampai hari ini pun masih boleh bau getah. Rumah saya cuma beberapa ratus meter saja dari sana,” katanya.
Sementara itu, pengguna Threads bernama @krnfyd pula menyatakan bau asap tersebut masih dapat dihidu hingga ke kawasan perumahannya.
"Pagi tadi masih bau tayar terbakar. Ingatkan ada kebakaran lain, rupanya dari kejadian itu juga. Memang teruk," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan pada memaklumkan operasi pemadaman kebakaran di kawasan kilang tayar terpakai di Batu 9 masih diteruskan selepas api yang sebelum ini berjaya dikawal, kembali marak pada awal pagi Jumaat.
Kilang tayar terpakai dilaporkan musnah sepenuhnya manakala kilang plastik kitar semula terbakar kira-kira 60 peratus.
Sebelum ini, kebakaran besar yang berlaku malam Rabu mengakibatkan sebuah kilang tayar terpakai musnah sepenuhnya, manakala sebuah kilang kitar semula plastik terbakar 60 peratus. Tiada mangsa dilaporkan dalam insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
