[VIDEO] Permainan mudah ajar anak erti sebenar pengorbanan ayah, apa kita dapat belum tentu dia ada semasa kecil


  • Bonda
  • Ahad, 19 Okt 2025

Setiap kali soalan diajukan, anak-anak yang memenuhi kriteria akan melangkah ke hadapan, meninggalkan ayah mereka yang masih berdiri di tempat asal.

KASIH sayang seorang ayah jarang diungkapkan dengan kata-kata namun peranannya dalam membentuk kehidupan anak-anak tidak pernah ternilai.

Di sebalik wajah tenang dan langkah tabah, ramai ayah sebenarnya memendam rasa letih, sedih dan tekanan demi memastikan keluarga terus bahagia.

Tular satu video yang dikongsikan di laman Facebook milik Kamek Maok menyentuh hati ramai warga maya apabila menampilkan pengorbanan seorang ayah dalam membesarkan anak-anaknya dengan penuh kesabaran.

BACA LAGI: Protege Tony Stark’, pelajar pintar buat kajian paling sukar difahami teroka dunia quantum, banggakan Abd Rahim seluruh dunia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Confirm seminggu tak basuh tangan', budak pengiring aksi JDT-Penang tak henti tersengih dapat pegang glove Syihan

Dalam video berdurasi satu minit 18 saat itu, seorang ibu tampil membuat satu permainan ringkas tetapi menyentuh hati bertujuan membuat anak-anak mereka lebih menghargai jasa ayah.

Permainan bermula dengan si ayah berdiri sambil berpegangan tangan bersama tiga anaknya, dua lelaki dan seorang perempuan.

Si ibu kemudian mengajukan beberapa soalan mudah kepada anak-anaknya antaranya siapa yang pernah makan piza ketika umur tujuh tahun, siapa yang dihantar ayah ke sekolah setiap hari dan siapa yang pernah bermain bersama ayah selepas dia pulang kerja.

Setiap kali soalan diajukan, anak-anak yang memenuhi kriteria akan melangkah ke hadapan, meninggalkan ayah mereka yang masih berdiri di tempat asal.

Lama-kelamaan, jarak antara mereka semakin jauh sehingga pegangan tangan terlepas, simbolik kepada bagaimana pengorbanan ayah sering tidak disedari kerana kesibukan mencari rezeki.

Namun detik paling menyentuh hati tiba apabila si ibu menukar arah soalan kepada si ayah dengan mengatakan maju ke depan sekiranya anda pernah bekerja keras sejak usia lapan tahun demi membantu keluarga.

Si ayah melangkah ke hadapan dan ketika itu anak-anak tersentak serta menitiskan air mata, menyedari betapa besar pengorbanan ayah mereka sejak kecil. 

Ketiga-tiga mereka kemudian berlari memeluk ayah dalam suasana penuh emosi.

Meskipun perkongsian itu ringkas dan tidak mempunyai mesej tersurat, makna tersirat disampaikan mudah difahami dalam mengenal erti pengorbanan seorang bapa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram