
PINTU ke saingan separuh akhir Piala FA musim ini semakin terbuka selepas menang 4-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.
Kemenangan besar berkenaan juga merealisasikan hasrat Gergasi Merah untuk membalas dendam terhadap kekalahan kepada skuad Jang pada aksi Liga Super sebelum ini, yang menyaksikan Selangor tewas 1-2.
Bukan itu sahaja, kemenangan berkenaan sedikit sebanyak meletakkan kepercayaan penyokong kepada pengendali sementara Selangor, Christophe Gamel yang mengambil tugas selaku ketua jurulatih selepas Katsuhito Kinoshi direhatkan.
BACA LAGI: Dah cukup sedia, sampai bila Selangor mahu peram Rahman Daud?
BACA LAGI: Tak mustahil berulang, Paroi berpotensi kembali sepi lepas Jang diaibkan Selangor
Gamel yang sebelum ini berpengalaman mengendalikan Sri Pahang juga nampaknya seperti mempunyai perancangan tersendiri untuk memperkukuhkan pasukan apabila dikhabarkan Selangor mahu merekrut dua pemain import dari Colombia.
Berdasarkan desas-desus yang tersebar di media sosial, seorang penyokong dengan nama akaun Facebook iaitu Mon Ra melaporkan dua pemain itu tiba di tanah air untuk menjalani latihan dua minggu bersama Selangor FC.
"Semalam (Jumaat) di airport ada dua pemain dari Colombia datang untuk latihan dengan Selangor FC untuk dua minggu. Mungkin ada pemain baru nak masuk (tak sempat pula nak ambil nama mereka," dakwanya.
Tidak pasti dua pemain itu tiba atas permintaan Gamel atau insiatif daripada pihak pengurusan, namun ketua jurulatih itu pasti sedikit sebanyak mempunyai perancangan untuk merekrut pemain di bawah penilaiannya.
Lira masih tidak mempunyai sebarang gol untuk Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Sekiranya dakwaan penyokong itu benar, kehadiran dua pemain itu boleh menggantikan pemain kurang menyerlah seperti Willian Lira yang masih belum membuka akaun gol bersama Gergasi Merah pada musim ini.
Sejak tiba di Selangor pada awal musim ini, bekas penyerang Kedah Darul Aman FC berkenaan tampil dalam lima perlawanan termasuk satu aksi Piala FA menentang Negeri Sembilan pada Sabtu.
Ketumpulan penyerang kelahiran Brazil berkenaan hanya menimbulkan kemarahan penyokong hingga mengharapkan Lira akan ditunjukkan jalan keluar pada jendela perpindahan kedua nanti.
Sekiranya khabar angin itu menjadi kenyataan, kehadiran dua pemain Colombia berkenaan dijangka mampu memberi nafas baharu kepada jentera serangan Gergasi Merah yang kini semakin menunjukkan kebangkitan di bawah kendalian Gamel. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram